Pada Isnin, kerajaan AS mengumumkan tarif 25 peratus yang seragam ke atas import keluli dan aluminium. "Keputusan ini bertujuan untuk menyokong industri domestik AS yang sedang bergelut, tetapi berisiko mencetuskan konflik perdagangan yang lebih luas," menurut laporan media dalam talian itu.
Menurut laporan itu, pasaran saham India Bursa Saham Bombay (BSE) dan Bursa Saham Nasional (NSE) merosot kira-kira 3 peratus dalam lima sesi terakhir. "Pendapatan domestik yang lemah dan kebimbangan mengenai dasar perdagangan AS memberi kesan negatif kepada sentimen pasaran," tambah laporan media itu.
Pasaran ekuiti India jatuh pada Selasa, dengan sektor perbankan, automotif, logam dan Teknologi Maklumat (IT) mengalami penurunan, menurut laporan itu, sambil menambah yang pengeluaran dana asing yang berterusan dan pengenaan tarif baharu oleh AS mencetuskan kebimbangan kejatuhan saham India.
BSE turun sebanyak 2,290.21 mata atau penurunan 2.91 peratus lima hari yang lalu. Pada Selasa, ia jatuh sebanyak 1,018.20 mata kepada 76,293.60 mata, menyebabkan pengurangan besar sekitar 9,296 bilion rupee India (US$107 bilion) dalam satu sesi sahaja.
Begitu juga, NSE jatuh sebanyak 309.80 mata kepada 23,071.80 mata pada hari yang sama.
Laporan itu turut memetik Ketua Penyelidikan Geojit Financial Services Vinod Nair, yang mengatakan pelabur mengharapkan lawatan Perdana Menteri Narendra Modi ke AS dapat menyuntik kelegaan terhadap ketidaktentuan dagangan.
Modi dijadualkan melawat AS pada Rabu dan dijangka mengadakan perbincangan dua hala dengan Presiden AS Donald Trump.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)