WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada Rabu mengecam Volodymyr Zelenskyy sebagai "seorang diktator tanpa pilihan raya" dan menegaskan, Presiden Ukraine itu perlu bertindak segera untuk mendapatkan perdamaian atau bakal kehilangan negaranya.

Trump bercakap beberapa jam selepas Zelenskyy membalas kenyataannya yang menyalahkan Ukraine atas pencerobohan besar-besaran Rusia pada 2022.

Zelenskyy berkata, Presiden AS itu terperangkap dalam gelembung maklumat salah yang disebarkan Rusia.

“Seorang 'diktator tanpa pilihan raya', Zelenskyy lebih baik bergerak cepat atau dia tidak akan mempunyai negara lagi,” tulis Trump di platform media sosialnya, Truth Social.


Sebagai respons, Menteri Luar Ukraine, Andrii Sybiha menegaskan, tiada sesiapa yang boleh memaksa negaranya untuk menyerah kalah.

"Kami akan mempertahankan hak kami untuk terus wujud," kata Sybiha di platform X.

Tempoh lima tahun pemerintahan Zelenskyy sepatutnya berakhir pada 2024, tetapi Pilihan Raya Presiden dan Parlimen tidak dapat diadakan di bawah undang-undang tentera yang dikuatkuasakan Ukraine sejak Februari 2022 susulan pencerobohan Rusia.

Rusia kini telah menguasai sekitar 20 peratus wilayah Ukraine dan perlahan-lahan terus merampas lebih banyak kawasan di bahagian timur.

Moscow mendakwa "operasi ketenteraan khas" mereka adalah untuk menangani ancaman kewujudan akibat usaha Kyiv menyertai NATO.

Ukraine dan negara-negara Barat pula menyifatkan tindakan Rusia itu sebagai penjajahan imperialis.

Zelenskyy yang bertemu dengan utusan Trump untuk Ukraine, Keith Kellogg, di Kyiv pada Rabu berkata, beliau berharap pasukan Trump dapat memperoleh lebih banyak kebenaran mengenai Ukraine.

Kenyataannya itu dibuat sehari selepas Trump berkata bahawa Ukraine "tidak sepatutnya memulakan" konflik dengan Rusia.

Pemimpin Ukraine itu juga menolak dakwaan Trump bahawa kadar kelulusannya hanya 4 peratus, dengan menegaskan, angka tersebut adalah sebahagian daripada maklumat salah yang disebarkan Rusia dan sebarang usaha untuk menggantikannya akan gagal.

"Kami mempunyai bukti bahawa angka ini sedang dibincangkan antara Amerika dan Rusia. Ini bermakna, Presiden Trump... malangnya hidup dalam ruang maklumat salah ini," tegas Zelenskyy kepada televisyen Ukraine.

Tinjauan terbaharu oleh Institut Sosiologi Antarabangsa Kyiv pada awal Februari menunjukkan, 57 peratus rakyat Ukraine mempercayai Presiden Zelenskyy.

Kurang sebulan selepas memegang jawatan Presiden AS, Trump telah mengubah dasar Amerika terhadap Ukraine dan Rusia, menamatkan usaha Washington untuk mengasingkan Rusia berhubung pencerobohan Ukraine.

Perubahan ini dicetuskan oleh perbualan telefon antara Trump dan Presiden Rusia Vladimir Putin serta rundingan antara pegawai kanan AS dan Rusia.

Pertemuan Trump-Putin

Trump turut memberitahu, beliau mungkin bertemu dengan Putin bulan ini.

Kremlin bagaimanapun mengulas, pertemuan itu mungkin mengambil masa lebih lama untuk disiapkan, tetapi dana kekayaan negara Rusia menjangkakan beberapa syarikat AS akan kembali ke Rusia seawal suku kedua tahun ini.

Di Moscow, Putin berkata pada Rabu, Ukraine tidak dihalang daripada menyertai rundingan damai, tetapi kejayaan rundingan bergantung kepada peningkatan tahap kepercayaan antara Moscow dan Washington.

Putin, sehari selepas Rusia dan AS mengadakan perbincangan pertama mereka untuk menamatkan konflik yang telah berlarutan selama tiga tahun berkata, persiapan untuk sidang kemuncak dengan Trump akan mengambil masa, walaupun kedua-dua pemimpin menyatakan keinginan untuk bertemu.

“Tetapi kita berada dalam situasi yang tidak cukup sekadar bertemu, minum teh atau kopi, duduk dan berbincang tentang masa depan,” kata Putin dalam satu siaran televisyen.

"Kita perlu memastikan pasukan kita menyediakan isu-isu yang sangat penting bagi kedua-dua AS dan Rusia, termasuk - tetapi tidak terhad kepada - isu Ukraine, bagi mencapai penyelesaian yang boleh diterima oleh kedua-dua pihak," tambahnya.

Ukraine dan negara-negara Eropah tidak dijemput ke rundingan yang diadakan di ibu kota Arab Saudi pada Selasa sekali gus mencetuskan kebimbangan Rusia dan AS mungkin mencapai perjanjian yang mengabaikan kepentingan keselamatan mereka.

Namun, Putin menegaskan, Ukraine tidak diketepikan dari rundingan dan menganggap reaksi "histeria" terhadap perbincangan AS-Rusia itu tidak perlu.

Trump pula menyatakan, Eropah perlu memainkan peranan lebih besar dalam menjamin sebarang perjanjian gencatan senjata.

Zelenskyy mencadangkan agar syarikat AS diberikan hak untuk melombong mineral berharga di Ukraine sebagai pertukaran untuk jaminan keselamatan dari AS.

Namun, beliau mendakwa, Trump tidak menawarkan cadangan tersebut secara rasmi.

Dalam satu sidang akhbar, Zelenskyy mendedahkan, AS telah memberikan Ukraine AS$67 bilion dalam bentuk senjata dan AS$31.5 bilion dalam sokongan bajet.

Bagaimanapun, beliau menolak tuntutan AS untuk AS$500 bilion dalam bentuk mineral sebagai "bukan perbincangan yang serius" dan menegaskan, beliau tidak akan menjual negaranya.

Utusan khas AS untuk Ukraine, Keith Kellogg, yang tiba di Kyiv pada Rabu berkata, beliau menjangkakan rundingan yang mendalam memandangkan perang hampir memasuki tahun ketiga.

"Kami memahami keperluan jaminan keselamatan," katanya kepada wartawan, sambil menambah bahawa sebahagian misinya adalah untuk "duduk dan mendengar."

Eropah tergamam dasar baharu AS

Perubahan mendadak dalam dasar AS ini bercanggah dengan pendirian Kesatuan Eropah (EU) yang terdiri daripada 27 negara.

Pada Rabu, Duta EU bersetuju untuk melaksanakan pakej ke-16 sekatan terhadap Rusia, termasuk sekatan ke atas aluminium dan kapal yang disyaki membawa minyak Rusia yang telah dikenakan sekatan.

Perkhidmatan diplomatik EU turut mencadangkan peningkatan bantuan ketenteraan kepada Ukraine bagi menunjukkan sokongan berterusan kepada Kyiv.

Walau bagaimanapun, keputusan segera tidak dijangka.

Cadangan EU itu merangkumi bekalan sekurang-kurangnya 1.5 juta peluru artileri berkaliber besar, sistem pertahanan udara, peluru berpandu untuk serangan ketepatan jauh dan dron.

Pegawai Eropah terkejut dan tidak bersedia menghadapi tindakan pentadbiran Trump dalam beberapa hari kebelakangan ini, dengan kebimbangan utama mereka adalah ketidaktentuan mengenai perlindungan ketenteraan AS.

Mereka juga bimbang Trump akan mencapai perjanjian damai dengan Putin yang boleh merugikan Kyiv dan menggugat keselamatan Eropah secara keseluruhan.

Perdana Menteri Sweden, Ulf Kristersson, pada Rabu berkata, walaupun belum ada kata sepakat sepenuhnya dalam EU mengenai langkah seterusnya, beliau menegaskan: "Kita perlu kekal tenang dan terus menyokong Ukraine." - Reuters