WASHINGTON: Dua ekor panda dari China membuat penampilan sulung kepada umum di Zoo Negara Washington, DC pada Jumaat, lapor Agensi Anadolu.

"Penantian SUDAH BERAKHIR: panda gergasi secara rasmi membuat penampilan sulung mereka di Zoo Negara dan Institut Pemuliharaan Biologi Smithsonian di Washington, D.C.!" kata pihak muzium itu.

Panda yang dinamakan Bao Li dan Qing Bao itu tiba di ibu negara Amerika Syarikat pada Oktober lepas tetapi perlu menjalani kuarantin sejak ketibaan mereka.

Kedua-duanya akan berada di Amerika Syarikat selama 10 tahun sebagai sebahagian daripada Perjanjian Penyelidikan Bersama yang ditandatangani pada April lepas.

Perjanjian itu meneruskan kerjasama selama beberapa dekad antara kedua-dua negara dalam pemuliharaan panda.

"Diplomasi panda," amalan yang bermula sejak 1941, melibatkan China menghantar panda ke negara lain sebagai simbol muhibah dan kerjasama dalam pemuliharaan.

Kehadiran panda Bao Li dan Qing Bao dijangka berfungsi sebagai alat kuasa lembut untuk China, memperlihatkan komitmennya terhadap kerjasama antarabangsa dan pemuliharaan hidupan liar.

-- BERNAMA