QUITO: Rakyat Ecuador keluar mengundi pada Ahad untuk memilih seorang presiden, naib presiden, 151 anggota Dewan Negara dan lima anggota Parlimen Andean untuk tempoh empat tahun, lapor Xinhua.

Pusat pengundian dibuka pada 7 pagi waktu tempatan (1300 GMT) untuk lebih 13.7 juta pemilih berdaftar dan dijadualkan ditutup pada 5 petang (2200 GMT).

Keputusan awal bagi pemilihan presiden dijangka diumumkan lewat malam.

Menurut perlembagaan Ecuador, seorang calon presiden boleh menang pada pusingan pertama sekiranya memperoleh lebih 50 peratus undi atau sekurang-kurangnya 40 peratus dengan kelebihan lebih 10 mata peratusan berbanding pencabar terdekat. Jika tiada calon memenuhi syarat itu, dua calon teratas akan bertanding dalam pusingan kedua.

Kerajaan Ecuador telah mengerahkan kira-kira 100,000 anggota tentera dan polis bagi memastikan keselamatan sepanjang proses pilihan raya. Hampir 1,000 pemerhati tempatan dan antarabangsa turut memantau perjalanan pilihan raya bagi menjamin ketelusan.

--BERNAMA-XINHUA