Menerusi ucapannya, Musk memuji keputusan Pilihan Raya Presiden AS pada 4 November lalu sebagai 'kemenangan luar biasa'.
"Ini adalah satu persimpangan dalam tamadun manusia. Ia detik amat penting dan terima kasih kerana menjayakannya," katanya di Capital One Arena di Washington.
Musk kemudiannya meletakkan tangan kanan pada dadanya sebelum membuat tabik Nazi tersebut.
Beliau kemudiannya mengulangi perbuatan sama beberapa kali.
Tindakan Musk bagaimanapun mencetuskan pelbagai reaksi warganet dan sebahagiannya mendakwa ia jelas tabik hormat yang biasa dilakukan pemimpin Nazi Jerman, Adolf Hitler.
Rangkaian media Israel juga mengakui ia adalah tabik fasis yang sinonim dengan Nazi.
Sejak beberapa minggu lalu, Musk dikatakan telah beralih sokongan kepada puak haluan kanan sejak beliau menjadi sekutu rapat Trump.
Pada awal Januari, pemilik platform X itu turut mengadakan wawancara bersama pemimpin sayap kanan, Alice Weidel yang memimpin Alternatif untuk Jerman selepas menyokong partinya bertanding pada pilihan raya di Berlin pada bulan depan.
Di bawah pentadbiran Trump 2.0, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla dan SpaceX itu dipertanggungjawabkan untuk mengetuai Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE). - Agensi/Sinar Harian