RIGA: Estonia berjanji akan terus menyokong Ukraine menerusi bantuan ketenteraan dalam menghadapi pencerobohan Rusia menjelang tahun ketiga perang itu pada Isnin, lapor agensi berita Jerman dpa.

Perdana Menteri Estonia Kristen Michal berkata kerajaan membuat keputusan untuk membeli 10,000 peluru artileri dan menghantarnya ke Ukraine secepat mungkin.

"Angkatan tentera juga akan menyerahkan 750,000 pek makanan dari simpanan mereka," katanya pada Sabtu.

Selain itu, Estonia akan membekalkan Kyiv dengan peralatan ketenteraan bernilai EUR100 juta (US$104.6 juta) yang dihasilkan oleh industri persenjataannya sendiri.

Menteri Pertahanan Estonia Hanno Pevkur dalam hantaran di platform media sosial X, menyatakan bahawa penghantaran itu akan merangkumi "10,000 butir peluru artileri 155mm".

Sebelum ini, wakil kementerian menyerahkan senarai produk dan perkhidmatan daripada syarikat Estonia kepada Ukraine, yang diberi pilihan memilih bantuan berdasarkan keperluan ketenteraan mereka.

Sebagai anggota Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang bersempadan dengan Rusia, Estonia merupakan antara penyokong kuat Ukraine.

"Ukraine boleh terus bergantung kepada Estonia sekarang dan pada masa akan datang," tegas Michal dalam ucapannya di Tartu, bandar kedua terbesar Estonia yang terletak kurang 50 kilometer dari sempadan Rusia.

-- BERNAMA