BRUSSELS: Suruhanjaya Eropah mencadangkan kenaikan tarif ke atas pelbagai produk pertanian dan baja dari Rusia serta Belarus dalam usaha mengurangkan lagi import dan akhirnya memberikan impak terhadap keupayaan Moscow untuk meneruskan perang terhadap Ukraine, lapor agensi berita Jerman dpa.

"Produk pertanian yang terjejas oleh tarif baharu ini merangkumi 15 peratus daripada import pertanian dari Rusia pada 2023 yang sebelum ini belum dikenakan tarif lebih tinggi," menurut kenyataan Suruhanjaya itu pada Selasa.

"Sebaik sahaja langkah ini diterima pakai oleh Majlis, semua import pertanian dari Rusia akan tertakluk kepada tarif Kesatuan Eropah (EU)."

Suruhanjaya itu berkata tarif baharu bertujuan mengurangkan kebergantungan terhadap import dari Rusia dan Belarus, yang menjadikan EU terdedah kepada "potensi tindakan paksaan oleh Rusia serta berisiko terhadap keterjaminan makanan EU."

Badan eksekutif EU itu turut berkata langkah itu akan membantu pertumbuhan industri baja dalam blok berkenaan serta membolehkan kepelbagaian bekalan daripada negara ketiga. Ia menegaskan bahawa cadangan itu turut merangkumi langkah pengurangan sekiranya harga meningkat terlalu tinggi bagi petani EU.

"Tarif ini dirangka dengan teliti untuk mencapai pelbagai matlamat. Kami berhasrat untuk terus melemahkan ekonomi perang Rusia, sambil mengurangkan kebergantungan EU, menyokong industri kami dan mengekalkan keterjaminan makanan global," kata Pesuruhjaya Perdagangan EU Maros Sefcovic.

"Kami akan mengambil setiap langkah yang perlu untuk melindungi industri baja dan petani kami," katanya.

Langkah itu perlu mendapat kelulusan rasmi daripada Parlimen Eropah dan negara anggota EU sebelum dikuatkuasakan. Untuk diluluskan, ia memerlukan sokongan sekurang-kurangnya 15 daripada 27 negara anggota yang mewakili sekurang-kurangnya 65 peratus daripada jumlah penduduk EU.

-- BERNAMA