Keputusan yang dicapai di bawah kepimpinan Poland selaku Presiden Majis EU itu membenarkan tempoh pelaksanaan berperingkat selama enam bulan, memberi masa kepada pihak berkuasa sempadan dan sektor pengangkutan untuk menyesuaikan diri, kata Majlis EU dalam satu kenyataan.
"Saya sangat gembira bahawa semasa di bawah kepimpinan Poland sebagai Presiden Majlis EU, yang memberi tumpuan kepada isu keselamatan, kami telah dapat membuat kemajuan yang signifikan dalam mengawal dan melindungi sempadan luar kami.
"Penyelesaian yang diterima adalah fleksibel dan memastikan keselamatan pergerakan migrasi," kata Menteri Dalam Negeri Poland, Tomasz Siemoniak.
EES akan merekodkan secara digital data masuk dan keluar para pelancong, termasuk butiran pasport, cap jari, dan imej muka.
Di bawah pelaksanaan berperingkat, negara anggota akan mula mendaftar sekurang-kurangnya 10 peratus daripada laluan sempadan pada bulan pertama.
Ciri-ciri biometrik akan diperkenalkan secara berperingkat, dengan pendaftaran penuh dijangka selesai menjelang akhir tempoh peralihan. Sehingga itu, pegawai sempadan akan terus mengecop pasport secara manual.
Perjanjian itu merupakan satu kejayaan selepas bertahun-tahun penangguhan, dengan sistem itu pada asalnya dijadualkan untuk dilancarkan pada akhir 2024.
Pelaksanaan berperingkat bertujuan untuk mengelakkan gangguan teknikal dan membolehkan pemantauan prestasi secara masa nyata oleh eu-LISA, agensi EU yang bertanggungjawab untuk menguruskan sistem IT berskala besar.
Tarikh mula belum ditetapkan, kerana ia memerlukan keputusan berasingan daripada Suruhanjaya Eropah. Cadangan itu kini akan diteruskan ke perundingan dengan Parlimen Eropah, yang mesti meluluskan undang-undang sebelum ia diterima pakai secara rasmi.
Setelah beroperasi sepenuhnya, EES dijangka dapat meningkatkan keselamatan sempadan, mengurangkan penipuan identiti, dan memantau tempoh tinggal melebihi had masa di kawasan Schengen.
-- BERNAMA
