LONDON: Eurostar menggantung perkhidmatan kereta api antara London dan Paris selepas penemuan bom Perang Dunia Kedua yang tidak aktif berhampiran stesen Gare du Nord ibu negara Perancis, lapor agensi berita Jerman dpa.

Perjalanan ribuan penumpang terganggu apabila pengendali kereta api merentasi Selat itu membatalkan 10 perkhidmatan pada pagi Jumaat.

Semua kereta api arah Paris ke London dibatalkan sehingga sekurang-kurangnya tengah hari.

Menurut Eurostar dalam satu kenyataan menjelaskan, gangguan kepada perkhidmatan disebabkan objek di landasan berhampiran Paris Gare du Nord.

"Sila ubah perjalanan anda untuk tarikh perjalanan yang berbeza."

Pengendali kereta api nasional Perancis SNCF dalam satu kenyataan turut memaklumkan perkhidmatan di Gare du Nord akan digantung sehingga 11 pagi atas permintaan polis.

"Kami menasihatkan penumpang untuk menangguhkan perjalanan mereka," katanya.

-- BERNAMA