Setiausaha Pelancongan Filipina Christina Frasco, mewakili negaranya secara rasmi menerima jawatan Pengerusi ATF 2026 semasa upacara penyerahan yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Johor pada 20 Januari, menurut kenyataan media Jabatan Pelancongan (DOT) pada Selasa.
"Sebagai Pengerusi ASEAN 2026, saya menjemput anda untuk bersama kami di Filipina untuk Mesyuarat Menteri Pelancongan ASEAN ke-29 di Cebu pada Januari 2026. Ini akan menjadi peluang bukan sahaja untuk membincangkan dasar, malah menyaksikan secara langsung potensi besar pertumbuhan pelancongan mampan di rantau ini," kata Frasco.
ATF 2026 akan merangkumi Mesyuarat Menteri Pelancongan ASEAN, yang dijadualkan berlangsung di Wilayah Cebu pada Januari 2026, dengan mesyuarat persiapan akan diadakan di Manila dan Boracay.
Simbolik tukul kayu diserahkan kepada Frasco oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Datuk Seri Tiong King Sing, pada Isnin.
Ketika mengumumkan lokasi ATF, Frasco menonjolkan keramahan rakyat Filipina serta kekayaan budaya dan keindahan semula jadi yang ditawarkan oleh Cebu.
"Cebu adalah lambang perpaduan, menunjukkan apa yang boleh dicapai apabila komuniti, perniagaan dan kerajaan bekerjasama untuk mencipta model pelancongan yang menguntungkan dan bertanggungjawab," katanya.
Filipina turut komited untuk menjadi tuan rumah pameran perdagangan TRAVEX dan pelbagai persidangan yang menjadi sebahagian ATF 2026.
Penganjuran ATF oleh Filipina mengulangi kejayaan negara itu menganjurkan Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Pelancongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ke-36 untuk Asia Pasifik dan Asia Selatan, serta Forum Serantau Pelancongan Gastronomi PBB yang pertama.
Semasa ATF 2025, Frasco berkhidmat sebagai Naib Pengerusi dalam Mesyuarat Menteri Pelancongan ASEAN ke-28, yang turut dihadiri menteri pelancongan dari negara anggota ASEAN seperti Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, Thailand, Kemboja, Timor Leste dan Vietnam serta wakil dari Rusia, Jepun, India dan Korea Selatan.
Sebagai negara penyelaras utama bagi pembangunan Pelan Strategik Pelancongan ASEAN (ATSP) Pasca-2025, Frasco membentangkan kemas kini dan cadangan kepada menteri lain untuk menggalakkan sektor pelancongan yang memacu pertumbuhan ekonomi yang adil dan mampan.
"ATSP membayangkan landskap pelancongan yang bukan sahaja merangsang kemajuan ekonomi tetapi melakukannya secara adil dan mampan," katanya.
Tumpuan kami kualiti dan bukan hanya kuantiti, mengutamakan kemudahan dan keselamatan dalam pelancongan, mempromosikan penginapan yang lebih lama dan perbelanjaan yang lebih tinggi, sambil memelihara sumber semula jadi serta menghormati warisan dan budaya kami," katanya.
Frasco berkata Filipina juga komited untuk bekerjasama dengan negara anggota blok ini untuk membina industri pelancongan yang mampan.
Semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 di Jakarta pada 2023, Presiden Ferdinand R. Marcos Jr menerima permintaan blok serantau itu untuk menjadi Pengerusi ASEAN pada 2026, setahun lebih awal dari jadual asal.
Pengerusi ASEAN bertanggungjawab bukan sahaja untuk sidang kemuncak peringkat pemimpin tetapi juga semua perhimpunan lain blok ini.
-- BERNAMA