ISTANBUL: Presiden Afrika Selatan pada Khamis menggesa G20 untuk terus memperjuangkan penyelesaian diplomatik kepada konflik di seluruh dunia.

Mesyuarat Menteri Luar G20 secara rasmi bermula di Johannesburg dengan kehadiran Menteri Luar dan wakil lebih 30 negara serta organisasi antarabangsa, lapor Anadolu Ajansi.

"Sebagai G20, kita mesti terus memperjuangkan penyelesaian diplomatik terhadap konflik. Pengalaman kami sendiri di Afrika Selatan ialah penyelesaian konflik secara aman melalui dialog inklusif adalah penjamin utama keamanan yang mampan dan berkekalan," kata Cyril Ramaphosa dalam ucapan pembukaannya.

Presiden itu turut mengulangi seruan negaranya untuk melakukan pembaharuan dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) bagi menjadikannya lebih mewakili dan responsif terhadap realiti global semasa.

Menekankan "kesan besar terhadap nyawa manusia dan ketidakamanan global yang semakin meningkat" akibat konflik di Ukraine, timur Republik Demokratik Congo, Sudan, Sahel dan Gaza, Ramaphosa berkata: "Afrika Selatan menyambut baik perjanjian gencatan senjata yang dicapai antara Israel dan Hamas sebagai langkah pertama yang penting ke arah menamatkan krisis kemanusiaan yang teruk dihadapi rakyat Palestin di Gaza."

"Gencatan senjata ini mesti menjadi asas untuk keamanan yang adil dan berkekalan selaras dengan resolusi PBB, undang-undang antarabangsa dan parameter yang dipersetujui di peringkat antarabangsa," tambahnya.

Presiden G20 Afrika Selatan, yang menandakan kali pertama sebuah negara Afrika mempengerusikan forum antarabangsa itu, "menyerlahkan kepentingan benua Afrika yang semakin meningkat dalam perbincangan ekonomi, politik dan alam sekitar global yang berlaku di seluruh dunia," katanya.

Menurut Ramaphosa, Afrika Selatan menetapkan empat keutamaan untuk jawatan Presiden G20 termasuk daya tahan terhadap bencana, kemampanan hutang bagi negara berpendapatan rendah, peralihan tenaga yang adil serta pertumbuhan mampan.

Menekankan bahawa perubahan iklim memberi kesan tidak sekata kepada negara membangun, beliau berkata: "Setiap negara mempunyai tanggungjawab untuk menyumbang kepada usaha global dalam menangani perubahan iklim."

Ketua negara Afrika Selatan itu turut menggesa G20 memperbaharui usahanya untuk memajukan kemampanan hutang dengan "penekanan khusus kepada negara-negara Afrika dan secara lebih luas, negara-negara di Selatan Global."

-- BERNAMA