Angka itu jauh berbeza berbanding gaji guru sebelum ini yang boleh mencapai AS$500 (RM1,500) sebulan.
Kejatuhan ekonomi yang teruk akibat konflik yang berlarutan telah menjadikan sektor pendidikan di Syria antara yang paling terjejas, ditambah pula dengan proses pemulihan yang sangat mencabar.
Pendidikan Syria dalam krisis
Sektor pendidikan di Syria, terutamanya di Aleppo, menghadapi cabaran besar untuk dibangunkan semula.
Selama 20 tahun, segala rancangan pembangunan pendidikan di bandar ini terganggu akibat salah guna kuasa dan perang yang tercetus.
Kini, walaupun ramai anak-anak Syria mula pulang ke negara asal mereka setelah menetap di luar negara, mereka berdepan dengan keadaan sekolah yang daif dan kekurangan tenaga guru.
Global Peace Mission Malaysia (GPM), melalui Projek Malaysia For Syria, telah menjalankan hampir 10 projek pembangunan sekolah di sekitar Azaz, Aleppo, dan Idlib.
Malangnya, hanya dua sekolah yang masih beroperasi sehingga hari ini, sementara yang lain dimusnahkan oleh pentadbiran rejim Bashar Al-Assad.
Pertemuan terkini dengan Bahagian Pendidikan Aleppo adalah penting untuk mengenal pasti keperluan pendidikan serta ruang kerjasama Malaysia-Syria dalam bantuan bagi sektor pendidikan.
Guru dan pelajar yang terpinggir
Anas Al Qasim, Pengarah Pendidikan Aleppo, berkata, keperluan infrastruktur asas sekolah amat diperlukan memandangkan ramai anak-anak Syria dari luar kawasan mula kembali.
“Anak-anak ini (yang sebelum ini bersekolah di luar Syria) pastinya terkejut dengan kedaifan kemudahan sekolah ketika ini dan akan memberi kesan kepada proses pendidikan serta pengajian di sekolah,” beliau menambah.
Beliau turut menerangkan bawah gaji guru di sini telah menurun sebanyak 30 kali ganda berbanding 10 tahun lalu, menjadikan keperluan bantuan untuk membayar gaji guru menjadi antara keutamaan Bahagian Pendidikan Aleppo ketika ini.
“Gaji guru di sini hanya AS$15 sebulan, bayangkan jika mereka tinggal di kawasan luar bandar Aleppo, gaji mereka akan habis untuk tempoh dua hari persekolahan sahaja!” katanya dengan nada kesal.
Anas juga mengakui pihaknya terpaksa ‘pejam mata’ jika mendapat laporan bahawa tiada guru yang hadir pada hari-hari tertentu kerana faham akan situasi yang dihadapi mereka.
“Kesannya, murid-murid sekolah datang ke sekolah, tetapi tiada guru,” ujarnya lagi.
GPM gembleng tenaga
Ketua Pegawai Eksekutif Global Peace Mission Malaysia (GPM), Syahrir Azfar Salleh turut menyuarakan kebimbangan beliau.
“Sebaik mengetahui gaji guru yang teramat rendah ini, kami amat terkejut, tetapi situasi ini berlaku diakibatkan oleh tiada bantuan berterusan di samping sumber kerajaan yang kritikal pasca perang.
“Kami di GPM sedang berhubung dengan semua rakan kerjasama di seluruh dunia bagi mencari penyelesaian terbaik semampunya untuk memberi sokongan dalam sektor pendidikan di Syria,” katanya.
Mengenai projek pembangunan sekolah, beliau menambah, terdapat Sekolah Ain Jalut yang telah banyak membantu anak-anak Syria di Aleppo sebelum ini turut hancur dibedil ketika perang.
“Saya rasa ini masa terbaik untuk kumpulkan segala sumber yang ada untuk bina semula Sekolah Ain Jalut,” tegasnya.
Walaupun usaha pemulihan sedang giat dijalankan, cabaran yang dihadapi oleh sektor pendidikan Syria adalah besar.
Sekatan ekonomi global dan proses penyusunan semula negara telah menjadikan proses ini lebih sukar.
Namun, pendidikan adalah asas kepada pembangunan sesebuah negara. Tanpa sistem pendidikan yang kukuh, Syria mungkin akan terus bergelut dengan masalah sosial dan ekonomi pada masa hadapan.
Langkah seterusnya?
Persoalan besar yang perlu dijawab adalah bagaimana Syria boleh membina semula sistem pendidikannya dalam keadaan ekonomi yang begitu teruk?
Adakah komuniti antarabangsa perlu memainkan peranan yang lebih besar dalam membantu negara ini? Atau adakah penyelesaian harus datang dari dalam, dengan reformasi yang lebih mendalam?
Apa yang pasti, tanpa tindakan segera, generasi muda Syria mungkin akan terus terperangkap dalam kitaran kemiskinan dan ketidaktentuan.
Adakah masyarakat dunia akan membiarkan kisah lara ini berlarutan?