KUALA LUMPUR: Perjanjian gencatan senjata Hamas-Israel merupakan langkah pertama untuk menamatkan konflik yang telah mengorbankan banyak nyawa rakyat Palestin.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan berkata, gencatan senjata itu akan membolehkan penghantaran bantuan kemanusiaan yang baharu kepada rakyat Palestin.

Menurutnya, ia amat diperlukan untuk menyelamatkan nyawa rakyat Palestin yang masih berada di Gaza terutamanya ketika musim sejuk ini.

"Malaysia memuji Kerajaan Republik Arab Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat serta pengantara masing-masing atas kesungguhan dan komitmen mereka dalam mencapai perjanjian ini.

"Usaha kini perlu ditumpukan kepada pelaksanaan yang berkesan dan sepenuhnya mengikut komitmen yang telah diberikan oleh semua pihak terlibat," kata kenyataan itu pada Khamis.

Dalam pada itu, Wisma Putra berkata, Malaysia kekal teguh bersolidariti dengan Palestin dan percaya masyarakat dunia akan bersatu bagi mencari penyelesaian kekal kepada konflik yang berlaku di Gaza.

“Malaysia dengan tegas menyokong hak rakyat Palestin untuk mewujudkan sebuah negara yang merdeka dan berdaulat,” katanya.

Perdana Menteri dan Menteri Luar Qatar Mohammed bin Abdulrahman mengumumkan pada petang Rabu kejayaan perantara mencapai perjanjian gencatan senjata di Semenanjung Gaza, dengan pelaksanaannya dijadual bermula Ahad ini.