Dalam kenyataan, Pejabat Maklumat Tahanan yang dikendalikan Hamas menyatakan bahawa mereka yang akan dibebaskan termasuk 18 individu yang menjalani hukuman penjara seumur hidup, 54 menjalani hukuman jangka panjang, serta 111 warga Palestin dari Gaza yang ditahan selepas 7 Okt 2023.
Menurut kenyataan itu, daripada jumlah yang akan dibebaskan pada Sabtu, 54 merupakan anggota Fatah, lapan anggota Hamas, enam anggota Jihad Islam, dua anggota Barisan Popular bagi Pembebasan Palestin (PFLP) dan dua lagi anggota Barisan Demokratik bagi Pembebasan Palestin (DFLP).
Ia turut menyatakan bahawa tujuh daripada tahanan itu akan diusir selepas dibebaskan dari penjara Israel.
Terdahulu pada Jumaat, Briged Al-Qassam, sayap bersenjata Hamas, mengumumkan nama tiga tahanan Israel yang akan dibebaskan pada Sabtu.
"Sebagai sebahagian daripada perjanjian pertukaran tahanan Banjir Al-Aqsa, Briged Al-Qassam telah memutuskan untuk membebaskan tiga tahanan Israel pada Sabtu, 2 Feb 2025: Ofer Calderon, Keith Samuel Siegel dan Yarden Bibas," kata jurucakap Abu Ubeida.
Di bawah fasa pertama perjanjian selama 42 hari itu, seramai 33 tahanan Israel akan dibebaskan sebagai pertukaran bagi kira-kira 1,700 hingga 2,000 tahanan Palestin.
Hamas sebelum ini membebaskan tiga tahanan Israel dan lima warga Thailand di Gaza pada Khamis, manakala Israel membebaskan 110 tahanan Palestin. Ia merupakan pertukaran ketiga sejak perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas berkuat kuasa pada 19 Jan.
Serangan Israel telah mengorbankan lebih 47,400 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, di Gaza sejak 7 Okt 2023.
-- BERNAMA