KUMPULAN pejuang Hamas mengumumkan tiga lagi nama tahanan Israel yang akan dibebaskan pada Sabtu.

Tahanan berkenaan merupakan Ohad Ben Ami dan Eli Sharabi, kedua-duanya ditawan dari Kibbutz Be'eri semasa serangan lintas sempadan pada 7 Oktober 2023, sementara seorang lagi, Or Levy, yang diculik pada hari yang sama dari Festival Muzik Nova.

Pembebasan itu sebahagian perjanjian pertukaran dengan banduan Palestin dalam tahanan Israel.

Menurut pejabat media Hamas, Israel dijangka membebaskan 183 rakyat Palestin sebagai pertukaran, termasuk 18 yang sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup, 54 dengan hukuman penjara panjang, dan 111 yang ditahan di Semenanjung Gaza semasa perang.

Hamas sebelum ini mendakwa Israel melanggar perjanjian gencatan senjata mereka dan menangguhkan pengumuman nama tiga tebusan Israel sehingga tarikh akhir jam 4 petang Jumaat.

Kumpulan itu juga menuduh Israel melambatkan kemasukan ratusan trak yang membawa makanan dan bekalan kemanusiaan lain yang dipersetujui di bawah perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 19 Januari.

Ia mendakwa Zionis menahan hampir semua khemah dan rumah mudah alih yang diperlukan untuk memberikan perlindungan kepada penduduk yang kembali ke kediaman mereka yang musnah akibat pengeboman.