Tarif yang dicadangkan yang diumumkan Trump pada Sabtu, termasuk duti sebanyak 25 peratus ke atas semua import dari Mexico dan kebanyakan import dari Kanada (dengan pengecualian tarif 10 peratus ke atas produk tenaga), serta tarif baharu sebanyak 10 peratus ke atas barangan China.
Pada Isnin, Trump berkata, beliau akan berbincang dengan China tidak lama lagi.
Trump menangguhkan tarif ke atas negara jiran AS selepas Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum dan Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, bersetuju untuk meningkatkan kawalan di sempadan mereka dengan Amerika Syarikat.
“Saya baru sahaja bercakap dengan Presiden Claudia Sheinbaum dari Mexico. Ia adalah perbualan yang sangat mesra di mana beliau bersetuju untuk segera menghantar 10,000 tentera Mexico ke sempadan antara Mexico dan Amerika Syarikat,” tulis Trump di Truth Social.
“Anggota tentera ini akan ditugaskan khusus untuk menghentikan aliran fentanyl dan pendatang tanpa izin ke negara kita,” tambahnya.
Trump kemudian mengumumkan perkara yang sama mengenai Kanada selepas Trudeau terlebih dahulu mengumumkan penangguhan tarif selama 30 hari.
“Kanada telah bersetuju untuk memastikan keselamatan sempadan utara kita dan akhirnya menghentikan ancaman maut dadah seperti Fentanyl yang telah mengalir masuk ke negara kita, membunuh ratusan ribu rakyat Amerika serta memusnahkan keluarga dan komuniti di seluruh negara,” tulis Trump.
Bagaimanapun, menurut laporan CNN, Kanada hanya menyumbang 0.2 peratus daripada jumlah rampasan fentanyl di sempadan AS.
Selepas berbincang dengan Trump, Trudeau berkata, Kanada akan melaksanakan pelan sempadan bernilai AS$1.3 bilion yang telah diumumkan sebelum ini, serta melantik seorang “czar fentanyl” dan menyenaraikan kartel dadah sebagai organisasi pengganas.
Langkah drastik terhadap tiga rakan dagang terbesar Amerika telah menimbulkan kebimbangan, termasuk dalam kalangan parti Trump sendiri, serta menggegarkan ekonomi Amerika Utara, mengganggu pasaran perniagaan dan meningkatkan ketidaktentuan dalam kalangan pengguna yang masih bergelut dengan inflasi tinggi selama bertahun-tahun.
Janji tarif Trump juga telah mencetuskan perang perdagangan.
Kanada telah mengumumkan tarif balas, manakala China menyatakan ia akan mengambil “langkah tindak balas yang perlu.”
Perintah eksekutif Trump yang menggerakkan tarif ini turut mengandungi klausa tindak balas yang membolehkan AS mengenakan tarif lebih tinggi dan meningkatkan kos perdagangan.
Trump juga mencadangkan pusingan tarif tambahan bulan ini, mungkin terhadap negara lain.
“Ini adalah perang dadah dan adalah penting agar rakyat Kanada memahami bahawa apa yang kita lakukan ialah menghentikan pembunuhan rakyat Amerika akibat dadah berbahaya,” kata penasihat perdagangan White House, Peter Navarro, sebelum tarif ke atas Kanada ditangguhkan.
Namun, meskipun terkenal sebagai penyokong tarif, Trump mengakui pada Ahad bahawa tarif ini boleh memberi kesan kepada rakyat Amerika sendiri, seperti yang telah dinyatakan oleh pakar ekonomi, ahli Kongres dan beberapa pegawai dalam pentadbiran beliau.
Pakar ekonomi menjelaskan bahawa sekiranya tarif Amerika Utara dikuatkuasakan, ia boleh mendorong ekonomi Kanada dan Mexico ke dalam kemelesetan serta meningkatkan harga barangan bagi rakyat Amerika, termasuk kenderaan, petrol, kayu dan barangan import lain.
Pasaran saham AS turut terjejas, dengan Dow Jones jatuh hampir 600 mata ketika dagangan dibuka, tetapi berita perjanjian dengan Mexico membantu pasaran untuk pulih semula.
Penangguhan tarif terhadap Mexico disambut baik oleh Senator Republikan Iowa, Chuck Grassley, yang merayu kepada Trump agar pengecualian diberikan terhadap tarif ke atas baja kerana kesannya terhadap petani keluarga di Iowa, yang mendapatkan sebahagian besar baja mereka dari Kanada.
“Berita baik mengenai penangguhan tarif Mexico selama sebulan,” tulis Grassley di X pada Isnin.
“Diharapkan rundingan dapat mengelakkan lebih banyak perbincangan mengenai tarif.”
Senator Maine, Susan Collins, yang sering mengkritik Trump, turut memberi amaran mengenai tarif ke atas Kanada, dengan menulis di X bahawa Kanada adalah “rakan dagang paling penting” bagi Maine.
“Saya sedang bekerjasama dengan pentadbiran Trump untuk membantu pegawai mereka memahami kesan tarif terhadap Maine dan mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai pelaksanaan, skop, tempoh serta sebarang pengecualian yang mungkin diberikan kepada negeri sempadan utara, industri tertentu, pengeluar pertanian, dan lain-lain yang bergantung kepada perdagangan dengan Kanada,” tambah beliau.