WASHINGTON: Bekas naib presiden Amerika Syarikat (AS) Kamala Harris, yang tewas kepada Donald Trump dalam pilihan raya presiden November 2024, mula meminta sumbangan daripada pengundi bagi menentang dasar pemimpin AS itu dan memperkukuh Parti Demokrat, menurut teks rayuannya yang dilihat oleh Sputnik/RIA Novosti.

"Hai. Ini Kamala. Saya ingin mendekati anda untuk dengan hormat memohon sumbangan sebanyak US$10 kepada Jawatankuasa Kebangsaan Demokrat hari ini. Dua minggu pertama pentadbiran Trump menunjukkan betapa pentingnya kita memiliki Parti Demokrat yang kuat," menurut rayuan Harris.

Bekas naib presiden itu menekankan bahawa Demokrat kini memerlukan dana bagi mengatur usaha menentang "serangan Republikan" terhadap pelbagai program yang menjadi keperluan kepada jutaan rakyat Amerika, selain berusaha untuk mendapatkan semula kawalan ke atas Dewan Perwakilan dan Senat dalam pilihan raya pertengahan penggal Kongres pada 2026.

"Ia memerlukan usaha kita semua untuk merealisasikannya," kata Harris.

Menurut tinjauan yang dijalankan pada Februari oleh syarikat sosiologi Rasmussen Reports, majoriti pengundi AS percaya bahawa kerjasama dengan Presiden AS Donald Trump adalah demi kepentingan Parti Demokrat.

Terdahulu, portal Axios melaporkan bahawa susulan tindakan pentadbiran Trump, penggubal undang-undang Parti Demokrat menerima sejumlah rekod panggilan daripada penyokong mereka yang marah kerana beranggapan Demokrat tidak melakukan secukupnya untuk berhadapan dengan Rumah Putih.

-- BERNAMA