KUALA LUMPUR: Hubungan China-ASEAN terus berkembang dalam pelbagai aspek, namun cabaran geopolitik serta persaingan kuasa besar dijangka memberi kesan terhadap dinamik kerjasama serantau.

Penganalisis Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa Universiti Malaya, Collins Chong Yew Keat berkata perkembangan politik global, khususnya dengan kemunculan semula Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS), dijangka membawa kesan besar terhadap hala tuju hubungan ini.

Memetik hasil mesyuarat bersama ASEAN baru-baru ini, katanya, China sekali lagi menegaskan komitmennya untuk menyokong pembinaan Komuniti ASEAN dan memperkukuh peranan blok itu dalam menangani isu serantau.

Chong berkata usaha China untuk memperkukuh hubungan dengan ASEAN turut meliputi pelbagai sektor seperti infrastruktur pengangkutan, ekonomi biru, ekonomi digital, rantaian bekalan, keselamatan makanan serta peralihan tenaga.

Beliau melihat ini sebagai sebahagian daripada strategi China untuk mengukuhkan pengaruhnya di Asia Tenggara, terutama dalam situasi apabila AS dilihat mengurangkan penglibatannya dalam rantau ini.

"Dengan adanya pengurangan dana bantuan luar dan sokongan pertahanan AS, China melihat ini sebagai peluang terbaik untuk memperluaskan pengaruhnya di rantau ini melalui pelbagai cara, termasuk perdagangan, pengaruh budaya, pendidikan dan hubungan antara rakyat," katanya dalam temu bual program Bernama TV, "ASEAN Petang Ini" pada Jumaat.

Tambahnya, dilema ASEAN dalam menyeimbangkan kebergantungan ekonomi dengan China dan kepentingan keselamatan dengan kuasa Barat akan terus menjadi cabaran utama.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa ASEAN juga perlu mengekalkan keseimbangan dalam hubungan dengan China bagi memastikan prinsip kepusatan blok itu dan kedaulatan serantau tidak terjejas.

"Ini ujian besar bagi ASEAN, terutama dalam menguruskan hubungan dengan China tanpa menjejaskan kestabilan serantau," katanya.

-- BERNAMA