JAKARTA: Kerajaan Indonesia dan India memeterai kerjasama strategik dalam sektor digital untuk mempercepat transformasi digital mampan dan memupuk inovasi yang memberi manfaat kepada masyarakat kedua-dua negara, lapor agensi berita ANTARA.

Kerjasama itu dijalinkan menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Komunikasi dan Hal Ehwal Digital Indonesia dan Kementerian Elektronik dan Teknologi Maklumat India di New Delhi pada Sabtu.

Dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan semalam, Menteri Komunikasi dan Hal Ehwal Digital Indonesia Meutya Hafid menegaskan bahawa kerjasama strategik ini merupakan langkah penting yang menyatukan dua kuasa digital di Asia untuk mencipta inovasi yang memberi impak dan relevan kepada masyarakat.

"Kerjasama ini bukan sekadar mengenai teknologi, tetapi usaha bersama untuk menghubungkan masyarakat, merentas sempadan geografi, dan mendorong inovasi berpusat kepada keperluan manusia," kata Meutya.

MoU itu ditandatangani sewaktu lawatan negara Presiden Prabowo Subianto ke India, yang turut menghadiri sambutan Hari Republik negara itu.

Perjanjian itu merangkumi pembangunan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan Internet benda (IoT), pembangunan infrastruktur digital awam, serta peningkatan kemahiran sumber manusia dalam bidang teknologi maklumat.

Untuk memastikan pelaksanaan kerjasama yang berkesan, kedua-dua negara menubuhkan Kumpulan Kerja Bersama yang akan memantau kemajuan, menangani cabaran, dan merangka penyelesaian inovatif.

Kumpulan itu akan bermesyuarat secara berkala bagi memastikan kerjasama terus berada di landasan yang betul dan mencapai objektif yang ditetapkan.

Meutya menegaskan bahawa kerjasama dengan India adalah sebahagian daripada usaha lebih meluas Indonesia untuk meletakkan ia sebagai pemain utama transformasi digital global.

"Sebagai rakan strategik, India telah menunjukkan komitmennya dalam berkongsi pengetahuan dan pengalaman membangunkan ekosistem digital yang kukuh dan berimpak," katanya.

"Perkongsian ini penting untuk menangani cabaran global sambil membuka peluang baharu bagi generasi akan datang," kata Meutya.

-- BERNAMA