Dasar sedia ada yang berkuat kuasa kepada 1 Ogos 2023, terpakai kepada pengeksport dalam sektor seperti perlombongan, perladangan, perhutanan dan perikanan. Ia dirangka untuk mengukuhkan sistem kewangan negara dan meningkatkan kestabilan ekonomi.
Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia Airlangga Hartarto mengesahkan dasar itu telah dimuktamadkan, dengan peraturan kerajaan sedang disiapkan. Beliau menambah bahawa usaha sedang dilakukan untuk menyelaraskan dengan bank pusat, Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan, dan sektor perbankan bagi melaksanakan peraturan baharu itu.
Di bawah peraturan yang dipinda, pengeksport dengan transaksi di bawah US$250,000 dikecualikan daripada keperluan baharu itu, menawarkan kelonggaran kepada perniagaan kecil dengan modal terhad.
"Langkah ini bertujuan untuk meringankan beban perniagaan kecil dan membantu mereka kekal berdaya saing di pasaran global," menurut Airlangga dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata dasar baharu itu dijangka meningkatkan rizab pertukaran asing sehingga US$90 bilion, sekali gus membantu menstabilkan rupiah Indonesia yang kini didagangkan pada paras 16,330 berbanding dolar Amerika Syarikat, menurut laporan CNBC Indonesia.
Bagaimanapun, dasar itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengeksport yang menggesa kerajaan menambah baik skim pembiayaan eksport sebelum pelaksanaannya bagi mengelakkan gangguan kepada operasi mereka.
Pengerusi Persatuan Pengeksport Indonesia Benny Soetrisno menyuarakan sokongan terhadap dasar yang disemak itu tetapi melahirkan kebimbangan mengenai cabaran pembiayaan.
"Ramai pengeksport, terutamanya dalam sektor perlombongan, bergantung kepada institusi kewangan asing. Keperluan baharu untuk mendepositkan keuntungan eksport dalam sistem kewangan domestik selama setahun boleh mengganggu operasi mereka," katanya dalam program Power Lunch CNBC Indonesia.
-- BERNAMA