Kenaikan tambang penerbangan, peningkatan harga makanan dan lonjakan mendadak yuran sekolah swasta menyumbang kepada peningkatan kos sara hidup.
Pejabat Statistik Kebangsaan (ONS) melaporkan kadar inflasi Indeks Harga Pengguna (CPI) meningkat kepada tiga peratus pada Januari berbanding 2.5 peratus pada Disember.
Kadar itu lebih tinggi daripada jangkaan penganalisis yang meramalkannya sekitar 2.8 peratus.
Peningkatan ketara ini menambah tekanan ke atas penggubal dasar di Bank of England dalam menentukan sama ada untuk meneruskan pemotongan kadar faedah bagi mengekalkan inflasi pada sasaran dua peratus.
Ketua Ahli Ekonomi ONS, Grant Fitzner berkata: "Inflasi meningkat dengan ketara bulan ini ke kadar tahunan tertinggi sejak Mac tahun lepas.
"Kenaikan ini didorong oleh tambang penerbangan yang tidak turun seperti kebiasaannya pada waktu ini, sebahagiannya dipengaruhi oleh jadual penerbangan semasa musim Krismas dan Tahun Baharu. Penurunan pada Januari kali ini adalah yang paling lemah sejak 2020.
"Selepas mencatat penurunan tahun lepas, harga makanan dan minuman bukan alkohol meningkat, terutamanya daging, roti dan bijirin."
Harga daging dan roti masing-masing meningkat 2.3 peratus secara tahunan, menurut data ONS.
Inflasi juga didorong oleh kenaikan yuran sekolah swasta susulan keputusan kerajaan Parti Buruh mengenakan cukai nilai tambah (VAT) sebanyak 20 peratus terhadap pendidikan dan yuran asrama sekolah swasta.
Data menunjukkan banyak sekolah mengenakan kenaikan harga yang ketara kepada ibu bapa, dengan yuran sekolah swasta meningkat sebanyak 12.7 peratus secara tahunan.
Sektor pendidikan secara keseluruhan mencatat inflasi 7.5 peratus - kadar tertinggi sejak September 2015.
Menteri Kewangan Rachel Reeves berkata pada Rabu bahawa "keutamaannya" adalah meningkatkan kuasa beli rakyat selepas ONS mengesahkan kenaikan inflasi.
"Itulah sebabnya kami mengambil langkah lebih jauh dan pantas untuk merangsang pertumbuhan ekonomi," katanya.
Beliau berkata: "Dengan menghapuskan halangan untuk membina semula Britain, melabur dalam rangkaian jalan raya, rel dan tenaga serta memansuhkan peraturan yang tidak perlu, kami akan memacu pertumbuhan, memastikan pekerjaan bergaji tinggi dan meningkatkan kuasa beli rakyat."
Inflasi dijangka terus meningkat dalam beberapa bulan akan datang, dengan Bank of England meramalkan ia akan mencecah 3.7 peratus pada penghujung musim panas.
Cukai lebih tinggi ke atas perniagaan dan kenaikan gaji minimum yang diumumkan dalam Belanjawan Oktober lepas akan berkuat kuasa pada April dan dijangka menyumbang kepada inflasi yang lebih tinggi.
Bank of England sebelum ini menurunkan kadar faedah kepada 4.5 peratus awal bulan ini, pemotongan ketiga sejak kadar pinjaman dinaikkan bagi mengekang inflasi.
Namun, ahli ekonomi memberi amaran bahawa kadar inflasi yang lebih tinggi daripada jangkaan serta peningkatan kos gaji boleh menyebabkan bank pusat menangguhkan rancangan pemotongan kadar faedah.
Indeks Harga Pengguna termasuk perumahan (CPIH), ukuran inflasi pilihan ONS, meningkat kepada 3.9 peratus bulan ini daripada 3.5 peratus.
Sementara itu, kadar inflasi Indeks Harga Runcit (RPI) meningkat kepada 3.2 peratus daripada 2.9 peratus.
-- BERNAMA
