BAITULMAQDIS: Menteri Pertahanan Israel mengarahkan tentera pada Khamis untuk bersiap sedia bagi pemergian secara "sukarela" warga Palestin dari Gaza, selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mencadangkan pemindahan penduduk Palestin keluar dari wilayah tersebut.

Idea ini mencetuskan kemarahan pemimpin di Asia Barat dan di seluruh dunia, manakala pentadbiran Trump dilihat cuba menarik balik beberapa cadangan tersebut.

Beberapa jam kemudian, Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz berkata, beliau telah mengarahkan tentera untuk merangka pelan penghijrahan warga Palestin dari Gaza, yang telah musnah akibat peperangan selama lebih setahun.

“Saya telah mengarahkan IDF (Angkatan Pertahanan Israel) untuk menyediakan rancangan bagi membolehkan pemergian sukarela penduduk Gaza,” kata Katz, sambil menambah bahawa mereka boleh pergi “ke mana-mana negara yang sudi menerima mereka.”

Trump mengumumkan cadangannya pada Selasa dalam satu sidang media bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, pemimpin asing pertama yang bertemu dengannya di White House sejak beliau kembali memegang jawatan Presiden AS bagi penggal kedua.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran sebarang pemindahan paksa rakyat Palestin akan “bersamaan dengan pembersihan etnik.”

Trump menegaskan, “semua orang menyukai” rancangan tersebut sambil berkata, ia akan melibatkan Amerika Syarikat mengambil alih Gaza, walaupun beliau tidak memberikan butiran terperinci mengenai bagaimana lebih dua juta penduduk Palestin akan dipindahkan.

Pentadbirannya kemudian dilihat berundur daripada beberapa kenyataan tersebut, dengan Setiausaha Negara, Marco Rubio berkata, sebarang pemindahan penduduk Gaza adalah bersifat sementara.

Namun, Trump tetap mempertahankan cadangannya pada Khamis.

“Wilayah Gaza akan diserahkan kepada Amerika Syarikat oleh Israel selepas pertempuran tamat,” katanya di rangkaian Truth Social miliknya.

“Tiada tentera AS diperlukan! Kestabilan untuk rantau ini akan terjamin!!!”

Jurucakap Hamas mengecam kenyataan Trump sebagai “sama sekali tidak boleh diterima.”

“Kenyataan Trump tentang Washington mengambil alih Gaza adalah pengisytiharan terbuka untuk menjajah wilayah tersebut,” kata Hazem Qassem.

“Gaza adalah milik rakyatnya dan mereka tidak akan pergi.

“Kami menyeru sidang kemuncak Arab tergempar untuk menentang projek pemindahan ini.”

Netanyahu, ketika diwawancara oleh Fox News pula menyifatkan cadangan tersebut sebagai “luar biasa” dan memuji Trump sebagai “sahabat terbesar” Israel.

“Saya rasa ini perlu diteruskan, dikaji, dilaksanakan, kerana saya percaya ia akan mewujudkan masa depan yang berbeza untuk semua orang.”

Katz berkata, rancangan Trump “boleh mewujudkan peluang yang luas untuk penduduk Gaza yang ingin meninggalkan wilayah itu, membantu mereka menyesuaikan diri di negara tuan rumah, dan memudahkan kemajuan program pembinaan semula untuk Gaza yang bebas dari ancaman dan tanpa persenjataan.”

Menteri Kewangan Israel berhaluan kanan, Bezalel Smotrich - yang sering menyatakan sokongan terhadap cadangan Trump untuk memindahkan penduduk Gaza berikrar pada Rabu untuk “menghapuskan sepenuhnya” idea penubuhan negara Palestin sekali gus menyambut baik langkah Katz tersebut.

Sebahagian besar Gaza telah musnah akibat perang yang tercetus selepas serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 ke atas Israel, serangan paling dahsyat dalam sejarah negara itu, namun, penduduk Palestin di wilayah pantai tersebut berikrar tidak akan meninggalkan tanah air mereka.

Bagi mereka, sebarang usaha untuk mengusir mereka dari Gaza mengingatkan kembali kepada “Nakba,” atau “malapetaka”- pengusiran besar-besaran rakyat Palestin semasa penubuhan Israel pada tahun 1948.

“Mereka boleh lakukan apa sahaja yang mereka mahu, tetapi kami akan tetap teguh di tanah air kami,” kata Ahmed Halasa, seorang penduduk Gaza yang berusia 41 tahun.

Rakyat Israel di Baitulmaqdis secara umumnya menyambut baik cadangan Trump, walaupun ada yang meragui ia boleh dilaksanakan.

“Saya sangat suka apa yang dia katakan, tetapi dalam mimpi saya yang paling liar... sukar untuk saya percaya ia akan berlaku, tetapi siapa tahu,” kata Refael, 65.

Setiausaha Akhbar White House, Karoline Leavitt pula berkata, Trump hanya mahu penduduk Palestin “dipindahkan buat sementara waktu” keluar dari Gaza.

“Ia bukan tempat yang sesuai untuk didiami mana-mana manusia,” katanya.

Trump yang turut menyatakan hasrat untuk melawat Gaza, memberi gambaran bahawa wilayah itu tidak akan dibangunkan semula untuk penduduk Palestin.

Malah sebelum pengumuman Selasa, Trump telah mencadangkan supaya penduduk Gaza berpindah ke Mesir dan Jordan, namun kedua-dua negara tersebut menolak sekeras-kerasnya sebarang penempatan semula rakyat Palestin di wilayah mereka.

Presiden Palestin, Mahmud Abbas, menolak cadangan tersebut, menyifatkannya sebagai “pelanggaran serius” terhadap undang-undang antarabangsa dan menegaskan bahawa “hak sah rakyat Palestin tidak boleh dirunding.”

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, menekankan “hak yang tidak boleh dinafikan rakyat Palestin... untuk sekadar hidup sebagai manusia di tanah air mereka sendiri.”

Jurucakapnya, Stephane Dujarric ketika ditanya mengenai rancangan Trump berkata: “Sebarang pemindahan paksa rakyat adalah bersamaan dengan pembersihan etnik.”

Serangan ketenteraan Israel sebagai tindak balas kepada serangan Hamas telah memusnahkan sebahagian besar Gaza, termasuk sekolah, hospital dan kebanyakan infrastruktur awam.

Human Rights Watch (HRW) berkata, kemusnahan di Gaza “mencerminkan dasar Israel yang disengajakan untuk menjadikan sebahagian wilayah itu tidak dapat didiami.”

Rancangan Trump “akan mengubah peranan AS daripada bersubahat dalam jenayah perang kepada pelaku langsung kekejaman,” kata Pengarah Serantau HRW, Lama Fakih.

Bagi menangani situasi kemanusiaan yang teruk, bantuan kemanusiaan telah dihantar ke wilayah itu sejak gencatan senjata rapuh berkuat kuasa pada 19 Januari.

Ketua Kemanusiaan PBB, Tom Fletcher, berkata pada Khamis, lebih 10,000 trak bantuan telah memasuki Gaza sejak gencatan senjata bermula, menyifatkannya sebagai “lonjakan besar.” - Agensi