ANKARA: Tentera Israel telah menjadikan sebuah pusat kesihatan untuk Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) di selatan Tebing Barat menjadi tapak tahanan yang melanggar undang-undang antarabangsa, lapor Anadolu Ajansi (AA), memetik kenyataan agensi itu pada Jumaat.

Dalam satu kenyataan, UNRWA berkata tentera Israel "menggunakan Pusat Kesihatan Kem Arroub UNRWA (berhampiran Bethlehem) sebagai tapak tahanan sementara semasa operasi mencari dan menangkap pada 12 Feb."

Tentera Israel "secara paksa memasuki pusat kesihatan dan menggunakannya untuk penahanan dan soal siasat puluhan penduduk Palestin yang dikumpulkan di kem itu," menurut agensi itu.

UNRWA menyatakan bahawa "ini adalah perkembangan baharu dalam penghinaan terang-terangan terhadap kekebalan kemudahan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang tidak boleh dilanggar," sambil menambah bahawa "insiden ini mengikuti corak pencerobohan secara paksa ke atas premis UNRWA di Tebing Barat sejak Oktober 2023, yang dilakukan oleh pasukan keselamatan Israel dan kumpulan bersenjata Palestin."

Agensi itu turut menegaskan bahawa "sejak 30 Jan dan pelaksanaan undang-undang Knesset (parlimen Israel), termasuk dasar larangan hubungan antara UNRWA dan pihak berkuasa Israel, agensi ini tidak lagi dapat berhubung dengan pegawai Israel secara langsung untuk melaporkan dan menguruskan kejadian seperti ini."

"Semua premis PBB adalah kebal dan dilindungi di bawah undang-undang antarabangsa," tegas UNRWA.

Pada Oktober lalu, parlimen Israel meluluskan dua undang-undang yang mengarahkan penamatan operasi UNRWA di Israel dan wilayah Palestin yang diduduki serta melarang sebarang hubungan antara pihak berkuasa Israel dengan agensi itu. Undang-undang berkenaan berkuat kuasa pada 30 Jan.

Insiden terbaru ini berlaku ketika tentera Israel melancarkan serangan besar-besaran di Jenin dan Tulkarem, utara Tebing Barat sejak 21 Jan, yang telah mengorbankan lebih 30 orang, menyebabkan ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal, serta memusnahkan kawasan secara meluas.

Peningkatan keganasan Israel di Tebing Barat berlaku selepas perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan di Gaza pada 19 Jan, susulan lebih 15 bulan pengeboman yang telah meragut lebih 48,200 nyawa rakyat Palestin dan memusnahkan wilayah itu.

Sejak perang bermula pada 7 Okt 2023, tentera Israel dan peneroka haram telah membunuh sekurang-kurangnya 912 rakyat Palestin di seluruh Tebing Barat yang diduduki, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.

Pada Julai 2024, Mahkamah Keadilan Antarabangsa mengisytiharkan bahawa pendudukan Israel ke atas tanah Palestin selama berdekad-dekad adalah tidak sah dan mengarahkan pengosongan semua penempatan sedia ada di Tebing Barat serta Baitulmaqdis Timur.

-- BERNAMA