RIYADH: Putera Turki Al-Faisal yang juga bekas Ketua Perisikan dan Duta Arab Saudi ke Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK), telah lama bersuara mengenai penderitaan rakyat Palestin dan kemusnahan yang disebabkan oleh kempen ketenteraan Israel.

Kini, selepas perang terbaharu di Gaza, beliau menyeru perubahan mendasar dalam cara usaha pembinaan semula dibiayai dengan memaksa Israel menyumbang kepada pembinaan semula infrastruktur yang telah berulang kali dimusnahkannya.

Ketika muncul dalam program berita Arab News, Frankly Speaking, Putera Turki mengemukakan hujahnya mengapa Israel harus bertanggungjawab dari segi kewangan atas kerosakan yang ditimbulkannya di Gaza dan Tebing Barat dan bukannya negara-negara Teluk yang membayar kos tersebut.

"Saya telah mengatakan perkara ini sejak sekian lama, bahawa harus ada satu dana global untuk pembinaan semula, bukan sahaja di Gaza tetapi juga di Tebing Barat. Dan Israel harus dipaksa untuk menyumbang kepada dana itu," katanya kepada pengacara program Frankly Speaking, Katie Jensen.

“Kita tidak boleh menerima keadaan di mana setiap kali kita membina semula Gaza atau Tebing Barat, Israel datang dan merobohkan apa yang telah dibina semula. Itu tidak boleh diterima.

"Saya fikir mulai sekarang, ini adalah soal penyelesaian muktamad dan bukan lagi sekadar tindakan sementara atau prosedur yang hanya membina semula untuk kemudian dimusnahkan lagi oleh Israel. Harus ada penyelesaian akhir untuk konflik ini,” tegas beliau.

Israel melancarkan operasi ketenteraan di Gaza sebagai tindak balas terhadap serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 di selatan Israel, yang mengorbankan kira-kira 1,200 orang, kebanyakannya orang awam dan sekitar 250 orang dijadikan tebusan, termasuk warga asing.

Sekurang-kurangnya 50,000 rakyat Palestin terbunuh dalam konflik yang berlaku selepas itu, dan kira-kira 1.9 juta orang kehilangan tempat tinggal sebelum perjanjian gencatan senjata akhirnya dicapai pada 19 Januari.

Sebahagian besar wilayah Gaza kini musnah dengan keperluan kemanusiaan yang amat besar.

Putera Turki menegaskan, satu-satunya cara untuk memastikan usaha pembinaan semula tidak berulang kali terbantut akibat serangan Israel ialah dengan mewujudkan gencatan senjata kekal.

"Tahap seterusnya dalam gencatan senjata ini, seperti yang kita lihat, akan membawa kepada gencatan senjata kekal, bukan hanya di Gaza tetapi di seluruh Palestin," katanya.

"Itulah satu-satunya cara untuk memastikan bahawa apa sahaja yang dibina semula dapat bertahan dan menjadi sebahagian daripada negara Palestin yang berdaya maju, merdeka, dan dapat mentadbir sendiri dengan hak penuh untuk rakyatnya."

Sementara banyak perhatian dunia tertumpu kepada Gaza, Putera Turki memberi amaran bahawa dasar Israel di Tebing Barat di mana kem pelarian telah diserbu oleh tentera dan keganasan peneroka semakin meningkat, juga tidak boleh diabaikan.

"Perjuangan untuk Palestin tidak berakhir dengan gencatan senjata di Gaza," katanya.

“Kita melihat kerajaan Benjamin Netanyahu melakukan perkara yang sama seperti yang mereka lakukan di Gaza, tetapi dengan kadar yang lebih perlahan di Tebing Barat.”

“Mereka mengusir penduduk Palestin di Tebing Barat, mengosongkan beberapa kem pelarian di sana dan mengusir penduduk kem tanpa tujuan yang jelas. Itu juga tidak boleh diterima. Itu adalah satu bentuk pembersihan etnik. Dan malangnya, Israel terus terlepas daripada sebarang hukuman dan tidak ada sesiapa - terutamanya ASyang mengutuknya.”

Presiden AS, Donald Trump, baru-baru ini mencetuskan kontroversi antarabangsa dengan berkongsi video yang dihasilkan oleh kecerdasan buatan (AI) di akaun Truth Social miliknya, yang menggambarkan Gaza sebagai sebuah pusat peranginan mewah.

Dalam video tersebut, kanak-kanak Palestin dilihat keluar dari runtuhan ke sebuah bandar yang berkilauan dengan wang tunai turun dari langit.

Di tempat lain, Trump dilihat menikmati minuman bersama Netanyahu di tepi pantai.

Video tersebut merujuk kepada kenyataan Trump baru-baru ini mengenai kemungkinan memindahkan rakyat Palestin secara besar-besaran ke Mesir dan Jordan serta membangunkan Gaza sebagai "Riviera Timur Tengah."

Ketika ditanya apakah niat Trump dalam berkongsi video tersebut, Putera Turki berkata: “Saya tidak tahu.
Tiada kejutan yang cukup besar untuk menggambarkan apa yang sedang dilakukannya. Sesetengah orang berkata bahawa dia melakukan perkara ini untuk mencetuskan reaksi dalam satu bentuk atau yang lain.

"Namun, dia tidak perlu berbuat demikian kerana kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin sudah cukup untuk mencetuskan reaksi, bukan sahaja dari dunia Arab tetapi juga dari masyarakat antarabangsa.”

Meskipun kontroversi itu, Putera Turki menyatakan, tindak balas masyarakat antarabangsa terhadap perang di Gaza adalah sesuatu yang luar biasa.

“Saya mesti mengatakan bahawa sepanjang serangan brutal kerajaan Netanyahu ke atas rakyat Palestin, reaksi dunia sangat baik,” katanya.

"Anda melihat demonstrasi yang berlaku dan masih berterusan di pelbagai tempat di seluruh dunia menentang kekejaman ini dan menyokong kebebasan serta kemerdekaan negara Palestin. Itu adalah tanda yang sangat positif.”

Mengenai peranan Hamas dalam pentadbiran Gaza selepas perang, Putera Turki berkata, mungkin ada individu dalam kumpulan itu yang lebih menumpukan kepada kepentingan rakyat Gaza dan boleh dipertimbangkan untuk memainkan peranan dalam pemerintahan.

"Apabila kita bercakap tentang Hamas, terdapat individu yang lebih bersifat neutral, tidak terikat dengan parti, sama ada Hamas, Fatah atau kumpulan Palestin lain," katanya.

"Merekalah yang, menurut saya, sepatutnya bertanggungjawab ke atas Gaza dan memenuhi keperluan rakyat Gaza.”

Beralih kepada isu Lubnan, Putera Turki optimis terhadap kerajaan baharu negara itu yang diketuai oleh Presiden Joseph Aoun dan Perdana Menteri Nawaf Salam.

"Kerajaan telah memberikan sokongan penuh kepada tindakan Parlimen Lubnan dalam memilih Presiden," katanya.

"Dan kini Presiden telah melantik seorang Perdana Menteri dan mereka telah mengumumkan Kabinet yang diharapkan dapat berfungsi sebagai kerajaan yang sah."

Beliau menambah, rakyat Lubnan kini semakin muak menjadi mangsa kepada kepentingan politik dan puak-puak yang sering mencetuskan ketidakstabilan.

"Jadi, rakyat Lubnan yang akan menjadi benteng utama dalam memastikan hala tuju baharu ini berjaya. Saya berharap sokongan yang diberikan kepada Lubnan, bukan sahaja dari Arab Saudi tetapi juga dari masyarakat antarabangsa, akan membantu kerajaan itu menjadi lebih efektif dalam memenuhi keperluan rakyatnya.”

Arab Saudi juga baru-baru ini menganjurkan rundingan peringkat tinggi antara AS dan Rusia mengenai kemungkinan perjanjian damai di Ukraine serta isu-isu global lain.

Ini mengukuhkan kedudukan Arab Saudi sebagai pemain utama dalam diplomasi dunia.

Putera Turki menekankan, usaha diplomatik Riyadh melangkaui Ukraine dengan Arab Saudi turut membantu proses damai di antara Eritrea dan Ethiopia, Djibouti dan Ethiopia serta antara kumpulan Houthi dan kerajaan Yemen yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsga Bersatu.

"Rakyat Saudi berbangga bahawa negara mereka menjadi tempat di mana orang datang untuk mencari penyelesaian,” katanya. - Arab News