JASAD 14 anggota Pasukan Pertahanan Nasional Afrika Selatan (SANDF) yang terbunuh dalam pertempuran dengan kumpulan bersenjata M23 di bahagian timur Republik Demokratik Congo (DRC) dihantar pulang ke Afrika Selatan dan diserahkan kepada keluarga mereka untuk dikebumikan pada Khamis.

Bercakap pada majlis peringatan anggota tentera pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang terbunuh itu, Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa sekali lagi menekankan gesaan untuk segera melakukan gencatan senjata.

Dalam beberapa minggu terakhir ini, penglibatan Afrika Selatan di DRC menerima kritikan hebat dari negara sendiri selepas kejatuhan bandar Goma, sekali gus meninggalkan askar SANDF terperangkap tanpa strategi keluar yang jelas.

Dalam pada itu, Ketua SANDF Jeneral Rudzani Maphwanya mengingatkan, ketika negara sedang berkabung, perdebatan ini tidak seharusnya dipolitikkan.

Afrika Selatan turut menghantar tenteranya sebagai sebahagian daripada pasukan serantau yang dikerahkan oleh Komuniti Pembangunan Afrika Selatan (SADC).

Pertempuran terus berlaku di Goma meskipun terdapat gesaan daripada masyarakat antarabangsa supaya kumpulan M23 yang disokong Rwanda menghentikan kemaraan mereka ke bandar terbabit.

Goma, yang terletak di kawasan kaya mineral di DRC, mempunyai lebih satu juta penduduk.

Sementara itu, Afrika Selatan dipercayai mempunyai sekitar 3,000 tentera yang ditempatkan di Kongo, sekali gus sebagai sebahagian daripada misi pengaman PBB dan pasukan serantau Afrika Selatan yang ditugaskan membantu tentera Kongo melawan pemberontakan M23. - Agensi