Ringkasan AI
- Lebih separuh firma di Jepun melaporkan kekurangan pekerja sepenuh masa, dengan sektor perkhidmatan maklumat dan pembinaan paling terjejas.
- Banyak syarikat merancang untuk menaikkan gaji pekerja sepenuh masa dalam usaha mengekalkan tenaga kerja, tetapi syarikat kecil dan sederhana mungkin menghadapi kesukaran bersaing.
- Kekurangan tenaga kerja boleh menyebabkan lebih banyak syarikat muflis, dengan jumlah syarikat muflis akibat masalah tenaga kerja mencapai rekod tertinggi pada 2024.
Dalam tinjauan yang dijalankan pada Januari terhadap kira-kira 11,000 syarikat, 53.4 peratus menyatakan mereka memerlukan lebih ramai pekerja sepenuh masa, angka tertinggi sejak April 2020 dan hampir kepada rekod tertinggi 53.9 peratus pada November 2018, menurut Teikoku Databank Ltd.
Menurut Kyodo News, sektor yang paling memerlukan pekerja sepenuh masa ialah perkhidmatan maklumat, dengan kekurangan jurutera sistem, diikuti sektor pembinaan.
Tinjauan itu turut mendapati 30.6 peratus syarikat mengalami kekurangan pekerja separuh masa, dengan firma penyedia tenaga kerja mengalami kekurangan paling ketara bagi pekerja bukan tetap, diikuti restoran.
Tinjauan ini dijalankan ketika ahli ekonomi memberi tumpuan kepada sama ada pertumbuhan gaji yang kukuh tahun lalu akan berterusan.
Firma utama Jepun dijangka membuat keputusan mengenai tuntutan kenaikan gaji oleh kesatuan sekerja mereka menjelang akhir bulan ini, sekali gus menamatkan rundingan tahunan "shunto".
Sebanyak 68.1 peratus syarikat yang terjejas akibat kekurangan tenaga kerja merancang untuk menaikkan gaji pekerja sepenuh masa dalam tahun fiskal 2025 bermula April, menurut institut penyelidikan itu, dipercayai bagi memastikan mereka dapat mengekalkan tenaga kerja yang diperlukan.
Bagaimanapun, ahli ekonomi memberi amaran bahawa syarikat kecil dan sederhana akan menghadapi kesukaran untuk bersaing dengan firma besar yang mempunyai sumber kewangan mencukupi untuk terus meningkatkan gaji pekerja mereka.
"Kita perlu berwaspada terhadap risiko lebih banyak syarikat muflis akibat kekurangan tenaga kerja," menurut firma penyelidikan itu, sambil menekankan bahawa jumlah syarikat muflis akibat masalah tenaga kerja mencecah rekod tertinggi pada 2024.
-- BERNAMA
