Sebuah jet pejuang Gripen berjaya mendarat dan berlepas dari Jalan 4287 di Daerah Hat Yai, wilayah Songkhla, pada Khamis.
Bangkok Post melaporkan, situasi itu merupakan latihan simulasi situasi kecemasan yang pertama kali dilakukan di jalan tersebut.
Menurut Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF), sebahagian Jalan 4287 ditutup pada hari itu untuk membolehkan jet beroperasi menggunakan jalan berkenaan.
"Latihan ini mensimulasikan serangan ke atas pangkalan udara RTAF, yang memerlukan penggunaan jalan raya sebagai pangkalan sementara.
"Juruterbang berjaya mendaratkan jet berkembar itu untuk mengisi bahan bakar dan melengkapkannya dengan peluru berpandu sebelum berlepas semula. Latihan selama satu jam ini menandakan penggunaan pertama kali jalan raya sebagai pangkalan pesawat tempur di Thailand," petik kenyataan RTAF tersebut.
Dalam pada itu, situasi jarang berlaku itu turut meraih perhatian ramai hingga video yang memaparkan situasi itu tular di media sosial.
Jet jenis Gripen berfungsi sebagai pesawat tempur utama tentera Thailand, dengan pangkalan utamanya terletak di Wing 7, wilayah Surat Thani. - Sinar Harian
