Beliau menyatakan perkara itu semasa taklimat di North Carolina, ketika melawat kawasan yang dilanda Taufan Helene, pada Jumaat.
"Saya ingin melihat Kanada menjadi negeri ke-51," katanya.
"Rakyat Kanada, jika itu berlaku, akan menerima potongan cukai yang sangat besar - potongan cukai yang luar biasa - kerana mereka dikenakan cukai yang sangat tinggi.
"Mereka akan mempunyai perlindungan kesihatan yang lebih baik. Saya fikir rakyat Kanada akan menyukainya," tambah Presiden itu.
Trump turut mencadangkan untuk mengenakan tarif menyeluruh sebanyak 25 peratus ke atas eksport Kanada bermula 1 Februari.
Jika Amerika Syarikat mengambil alih Kanada, katanya, beliau akan “membiarkan perniagaan bergerak ke Kanada secara rutin. Dan, tiada tarif,” tambahnya.
Terdahulu, beliau mengkritik hubungan perdagangan AS-Kanada - seperti yang sering dilakukannya selama beberapa minggu kebelakangan ini - dan sekali lagi menegaskan negaranya tidak memerlukan kereta, kayu balak dan produk makanan dari Kanada.
Amerika Syarikat, dakwa Trump, menghasilkan "produk yang sama di sebelah sempadan yang lain."
Menurut Dewan Perdagangan Kanada, kira-kira AS$3.6 bilion barangan melintasi sempadan setiap hari.
Sementara itu, jumlah eksport hasil hutan Kanada sahaja dianggarkan bernilai AS$45.6 bilion pada 2022, menurut Statistik Kanada.
Hubungan perdagangan antara AS dan Kanada berkait secara langsung dengan 3.7 juta pekerjaan antara kedua-dua negara.
Ketika menjawab soalan tentang tarif secara amnya, Trump berkata: “Kita akan menjadi sebuah negara yang sangat kaya tidak lama lagi... perkataan tarif adalah salah satu perkataan yang paling indah dalam kamus.” - Agensi