ISTANBUL: Kapal pengangkut pesawat kelas Nimitz, USS Harry S. Truman berlanggar dengan kapal dagang Besiktas-M berhampiran Mesir, lapor Anadolu Ajansi memetik pengumuman Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) pada Khamis.

Kejadian berlaku lewat Rabu di Port Said pada kira-kira 11.46 malam waktu tempatan (2146 GMT) di Laut Mediterranean.

US Sixth Fleet Public Affairs mengesahkan perlanggaran itu tidak menjejaskan Truman, dengan tiada laporan mengenai banjir atau kecederaan.

"Sistem pendorongan kapal tidak terjejas dan berada dalam keadaan selamat serta stabil," menurut kenyataan itu.

Siasatan sedang dijalankan.

Harry S. Truman, yang berpengkalan di Norfolk, Virginia, merupakan antara kapal perang terbesar di dunia berukuran 333 meter panjang dan mampu membawa kira-kira 90 pesawat.

Besiktas-M, kapal pengangkut pukal yang berdaftar di Panama, berukuran 188.5 meter panjang dan dalam pelayaran dari Port Said ke Constanta, Romania, menurut laman sesawang Marine Traffic.



-- BERNAMA