SEBUAH kapal tangki yang membawa bahan api jet untuk tentera Amerika Syarikat (AS) bertembung dengan sebuah kapal kontena di luar pesisir timur laut England pada Isnin.

Insiden itu menyebabkan kebakaran besar dan beberapa siri letupan, memaksa anak kapal meninggalkan kapal masing-masing.

Difahamkan, kapal tangki berkenaan sedang berlabuh ketika kapal kontena lebih kecil melanggarnya, menyebabkan kebocoran tangki kargo dan tumpahan bahan api ke laut.

Pemilik kapal, Stena Bulk, turut mengesahkan insiden itu.

Dua sumber keselamatan maritim menyatakan bahawa tiada petunjuk sebarang aktiviti berniat jahat atau pihak lain yang terlibat dalam kejadian ini.

Menurut pegawai tempatan, 32 mangsa telah menerima rawatan oleh pasukan perubatan, namun hanya seorang masih berada di hospital pada tengah hari Isnin.

Bagaimanapun, pakar memberi amaran bahawa terdapat risiko pencemaran alam sekitar akibat tumpahan bahan api.

Kapal tangki terbabit, Stena Immaculate, yang dikendalikan oleh kumpulan logistik AS, Crowley, sedang membawa bahan api jet-a1 apabila ia dilanggar oleh kapal kargo berbendera Portugal, Solong, yang sedang berlabuh berhampiran Hull.

Kapal tangki ini merupakan sebahagian daripada program kerajaan AS untuk membekalkan bahan api kepada angkatan tentera apabila diperlukan.

Pemilik Solong, Ernst Russ yang berpangkalan di Hamburg, berkata bahawa perlanggaran berlaku pada jam 10 pagi ketika kapal tersebut sedang melintasi laut utara, di luar pesisir pantai british di Humberside.

Jelasnya, kedua-dua kapal mengalami kerosakan besar akibat perlanggaran dan kebakaran yang berlaku selepas itu.

Seramai 13 daripada 14 anak kapal Solong telah diselamatkan, manakala usaha mencari seorang kru yang masih hilang sedang dijalankan.

Pasukan kecemasan telah mengerahkan helikopter, pesawat, bot penyelamat dan kapal-kapal berdekatan yang dilengkapi dengan keupayaan memadam kebakaran ke lokasi kejadian pada pagi Isnin.

Crowley mengesahkan bahawa kebakaran berlaku akibat perlanggaran tersebut dan bahan api dilaporkan telah tumpah ke laut.