MOSCOW: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China mencatat pertumbuhan sebanyak lima peratus pada 2024, sejajar dengan unjuran, menurut Biro Statistik Kebangsaan China pada Jumaat seperti dilaporkan Sputnik/RIA Novosti.

"Berdasarkan anggaran awal, KDNK berjumlah 134,908.4 bilion yuan (US$18.41 bilion) pada 2024, peningkatan sebanyak 5.0 peratus berbanding tahun sebelumnya pada harga tetap," kata biro itu dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Biro Statistik Kebangsaan China, Kang Yi menyifatkan, asas ekonomi China pada 2024 yang melebihi 134 trilion yuan, sebagai "pencapaian cemerlang."

Kang berkata, asas ekonomi itu menunjukkan keupayaan ekonomi, saintifik dan penyelidikan China telah mencapai tahap baharu, serta negara itu berjaya memberikan sumbangan baharu kepada pembangunan global.

Pihak berkuasa China sebelum ini menjangkakan pertumbuhan KDNK negara itu mencapai sekitar lima peratus pada 2024. Laporan kerajaan yang dikeluarkan pada Mac 2024 menyatakan sasaran itu berdasarkan keperluan untuk meningkatkan pekerjaan, menambah pendapatan rakyat, dan mengendalikan risiko.

KDNK China pada akhir 2023 mencatat pertumbuhan 5.2 peratus berbanding 2022, lebih tinggi daripada unjuran rasmi yang menjangkakan pertumbuhan sekitar lima peratus. Jumlah KDNK ketika itu adalah 126.058 bilion yuan. - BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI