ANKARA: Keanggotaan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) tidak pernah dijanjikan kepada Ukraine sebagai sebahagian perjanjian damai, kata Setiausaha Agung NATO pada Jumaat.

"Ia tidak pernah dinyatakan sebelum ini, dan bahkan ia tidak disebut dalam kenyataan Sidang Kemuncak Washington, yang apabila perjanjian damai dicapai mengenai Ukraine, ia harus melibatkan NATO. Itu tidak benar," kata Mark Rutte kepada wartawan pada Persidangan Keselamatan Munich, menurut Anadolu Ajansi.

Beliau menegaskan bahawa "tidak pernah dijanjikan kepada Ukraine" yang keanggotaan NATO akan "menjadi sebahagian daripada hasil perjanjian tersebut."

Rutte berkata perkara itu perlu dilakukan secara "berperingkat" dan langkah pertama adalah untuk memastikan Ukraine berada "dalam kedudukan yang kukuh" serta mendapatkan perjanjian yang akan menghalang Presiden Rusia Vladimir Putin daripada menyerang Ukraine sekali lagi.

Beliau turut menegaskan bahawa sekutu Eropah perlu meningkatkan perbelanjaan mereka, sambil menambah: "Adalah jelas, jika kita kekal dengan angka semasa, kita tidak akan mencapai matlamat. Kita tidak akan selamat dalam tempoh empat atau lima tahun akan datang."

Mengenai peranan Eropah dalam kemungkinan rundingan damai, Rutte berkata negara Eropah sekarang perlu "mengemukakan rancangan konkrit: Pertama, menyalurkan lebih banyak bantuan ketenteraan kepada Ukraine. Kedua, meningkatkan latihan ketenteraan di Ukraine."

Eropah harus "mewujudkan kesan di lapangan, menghasilkan kesan melalui rancangan," supaya mendapat tempat di meja rundingan.

Ketua NATO juga menyatakan "kesedihan" atas "serangan dahsyat" yang dilakukan di Munich pada Khamis.

"Kami berharap perkara ini dapat diperjelaskan," kata Rutte, sambil turut menyuarakan harapan agar mangsa akan "pulih secepat mungkin."

Insiden itu berlaku pada Khamis apabila sebuah kereta merempuh orang ramai di pusat bandar ketika anggota kesatuan sekerja berkumpul untuk demonstrasi. Pemandu kereta itu, seorang warga Afghanistan berusia 24 tahun, segera ditahan polis di tempat kejadian.

-- BERNAMA