Penasihat DDPM Jirayu Huangtrakul berkata kebakaran yang berlaku pada 8 malam Khamis itu meliputi kawasan kira-kira 1.6 hektar dan tindakan pantas pasukan negeri memastikan api dapat dikawal sepenuhnya pagi ini.
Beliau turut menggesa pihak bomba semua kawasan agar terus berwaspada dan mengambil tindakan segera bagi mengawal sebarang kebakaran baharu yang mungkin berlaku.
"Jabatan Kawalan Pencemaran melaporkan kualiti udara di beberapa kawasan terus merosot setakat 7 pagi ini. Bangkok, kawasan sekitarnya serta sebahagian wilayah tengah termasuk Singburi dan Ang Thong mencatatkan paras habuk dalam zon jingga, menunjukkan kualiti udara tidak sihat.
Situasi ini selaras dengan ramalan yang menjangkakan keadaan bertambah buruk dari 21 hingga 23 Februari sebelum dijangka bertambah baik mulai 24 Februari," katanya dalam kenyataan yang disiarkan di laman sesawang rasmi Kerajaan Thailand pada Jumaat.
Bagaimanapun, Jirayu berkata kualiti udara di wilayah utara menunjukkan tanda-tanda penambahbaikan dengan tiada kawasan berada dalam zon merah. Namun, beberapa wilayah seperti Lampang, Phitsanulok, Nan, Chiang Rai dan Tak masih berada dalam zon jingga.
"Situasi ini perlu dipantau dengan teliti di Bangkok dan kawasan sekitarnya. Paras habuk dijangka meningkat semula hujung minggu ini, tetapi angin timur laut yang diramal bertiup pada Isnin, 24 Februari, dijangka membawa kelegaan ketara. Bagaimanapun, peningkatan semula paras habuk boleh berlaku sekitar 27 hingga 28 Februari," katanya.
Sementara itu, katanya Jabatan Meteorologi melaporkan tahap kelembapan yang berbeza di Wilayah Utara, Tengah dan Timur dengan hujan berselerak di bahagian bawah Utara serta beberapa kawasan di Selatan.
Jirayu menyatakan hujan yang turun hanya memberi sedikit kesan dalam mengurangkan paras habuk. Jabatan itu turut mengeluarkan amaran cuaca mengenai keadaan tidak stabil di bahagian atas Thailand, hujan lebat di Selatan serta angin kencang di Teluk Thailand.
"Ribut petir dijangka berlaku antara 23 hingga 25 Februari dengan hujan lebat diramalkan di Prachuap Khiri Khan, Chumphon, Surat Thani dan Nakhon Si Thammarat," katanya.
Beliau menambah bahawa pihak berkuasa menggesa orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga terhadap keadaan cuaca serta kualiti udara yang terus berubah.
-- BERNAMA
