Media tempatan melaporkan, sekurang-kurangnya seorang maut dalam tragedi itu.
Kira-kira 2,000 orang telah meninggalkan kediaman masing-masing di bandar Ofunato di utara Jepun, untuk tinggal di rumah rakan atau saudara-mara, sementara lebih daripada 1,200 orang kini ditempatkan di pusat perlindungan sementara, menurut pihak berkuasa.
"Kita masih memeriksa luas kawasan terjejas namun kejadian ini adalah yang terbesar sejak kebakaran tahun 1992 di Kushiro, Hokkaido," ujar jurucakap agensi pengurusan bencana pada Sabtu.
Terdapat laporan yang menjangkakan kebakaran itu sudah menjejaskan kawasan seluas 1,800 hektar.
Stesen penyiaran Japan Broadcasting Corporation (NHK) turut menunjukkan visual mencemaskan dari pandangan udara, dengan kepulan asap tebal masih belum reda sejak empat hari lalu, sementara helikopter milik tentera sedang berusaha memadamkan api.
Satu jasad yang rentung telah ditemui setakat ini, sementara lebih daripada 80 bangunan musnah. Kira-kira 1,700 anggota bomba yang dikerahkan kini bertungkus-lumus menyelamatkan penduduk serta memadamkan kebakaran.
