NAIROBI: Kementerian Kesihatan Kenya pada Jumaat mengumumkan pihaknya meningkatkan pemantauan di semua pintu masuk negara susulan penularan wabak Ebola Sudan di negara jiran, Uganda, lapor Xinhua.

"Sebagai langkah berjaga-jaga, sistem pemantauan telah dipertingkatkan di semua negeri dan pintu masuk," kata Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Mary Muthoni dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di ibu negara Kenya pada petang Jumaat.

Beliau berkata penilaian pantas terhadap kapasiti negara untuk bertindak balas terhadap wabak serupa sedang dijalankan, sebelum pelan komprehensif dibangunkan bagi memperkukuh kesiapsiagaan dan tindak balas negara terhadap Ebola.

Muthoni turut menggalakkan orang ramai mendapatkan maklumat tepat daripada petugas kesihatan yang layak, penggerak kesihatan komuniti atau melalui laman sesawang rasmi Kementerian Kesihatan.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan pengumuman Kementerian Kesihatan Uganda pada Khamis mengenai wabak Ebola, selepas seorang jururawat lelaki berusia 32 tahun meninggal dunia akibat jangkitan virus Ebola Sudan pada Rabu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa kesihatan Uganda bagi memperkukuh sistem pemantauan dan pengurusan kes, kebolehgerakan komuniti serta komunikasi risiko sebagai tindak balas terhadap wabak itu.

Ebola adalah virus yang sangat mudah berjangkit dan menyebabkan pelbagai gejala termasuk demam, sakit kepala, cirit-birit, muntah serta kelesuan tubuh.

Menurut WHO, kadar kematian akibat Ebola boleh mencecah antara 50 hingga 89 peratus bergantung kepada subjenis virus yang menjangkiti pesakit.

-- BERNAMA