Bercakap di kilang Siemens di Oxfordshire, Reeves menegaskan, pertumbuhan ekonomi kekal sebagai keutamaan utama kerajaan bagi mengurangkan senarai menunggu di hospital, meningkatkan kehadiran polis, dan mencapai sasaran iklim negara.
Projek pengembangan Heathrow ini "amat diperlukan," kata beliau, sambil menambah ia bakal mewujudkan 100,000 peluang pekerjaan. Reeves menyasarkan agar cadangan itu dikemukakan menjelang musim panas ini.
Terletak kira-kira 24 kilometer di barat London, pelan pengembangan Heathrow telah dibincangkan sejak pertama kali dicadangkan oleh kerajaan pimpinan Gordon Brown pada 2009.
Sebagai satu daripada lapangan terbang tersibuk di dunia, projek ini telah lama ditentang oleh penduduk setempat kerana kebimbangan mengenai pencemaran bunyi, risiko keselamatan, dan peningkatan pelepasan karbon.
Datuk Bandar London, Sir Sadiq Khan secara terbuka menentang pembinaan landasan ketiga dengan menegaskan, sebarang rancangan mesti merangkumi langkah bagi mengurangkan bunyi dan pelepasan karbon.
Susulan pengumuman Reeves itu, Khan memberitahu BBC London, beliau akan mencabar pengembangan Heathrow dengan apa cara sekalipun, termasuk tindakan undang-undang.
Heathrow merupakan lapangan terbang paling sibuk di United Kingdom, mengendalikan lebih 80 juta penumpang setiap tahun di empat terminal penumpangnya dan dua landasan.
Jika diluluskan, proses perancangan boleh mengambil masa lebih 15 tahun, dengan jangkaan penyempurnaan landasan ketiga pada 2040. - BERNAMA