PUTRAJAYA : Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, hubungan kerjasama baik antara Malaysia dan Thailand akan diteruskan bersama pentadbiran baharu Negara Gajah Putih itu.


Ringkasan AI
  • Hubungan Kerjasama: Malaysia dan Thailand akan meneruskan hubungan kerjasama yang baik, termasuk pembangunan di sempadan Kelantan dan Selatan Thailand. Projek Infrastruktur: Fokus pada projek infrastruktur seperti penjajaran jalan, ICQS Bukit Kayu Hitam, CIQ Sadao, dan jambatan kedua Rantau Panjang-Sungai Golok untuk meningkatkan kerjasama dan menyelesaikan isu pengurusan air dan banjir. Kesepakatan Ekonomi dan Keamanan: Kedua-dua negara bersetuju meningkatkan pelaburan intra-ASEAN, perdagangan, dan kerjasama dalam industri getah dan halal, serta mencapai keamanan di Selatan Thailand melalui Pelan Komprehensif ke arah Keamanan (JCPP).


Menurut Perdana Menteri, perkembangan pembangunan mutakhir melibatkan sempadan negeri Kelantan dan Selatan Thailand akan terus diberikan tumpuan.

“Kerjasama baik dengan bekas Perdana Menteri Srettha (Thavisin) di Bangkok dan Phuket, Thailand serta Bukit Kayu Hitam, Rantau Panjang yang menunjukkan rekod hubungan dua hala yang menakjubkan dan tidak pernah dilihat sebelum ini.

“Pastinya progres yang sangat banyak dalam aspek road alignment, ICQS (Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan) Bukit Kayu Hitam dan CIQ (Kastam, Imigresen dan Kuarantin) Sadao dan pembinaan jambatan kedua menghubungkan Rantau Panjang dan Sungai Golok.

“Ini akan meningkatkan kerjasama dan menyelesaikan banyak isu termasuk pengurusan air dan mitigasi banjir di Sungai Kelantan dan Sungai Golok di kawasan Selatan Thailand dan Utara Malaysia khususnya di Kelantan dan Terengganu,” kata Anwar.

Perdana Menteri berkata demikian dalam sidang media bersama rakan sejawatannya dari Thailand, Paetongtarn Shinawatra, di sini, hari ini.

Paetongtarn kini dalam rangka lawatan rasmi ke Malaysia selama dua hari ini.

Dalam kenyataan sama, kedua-dua pemimpin juga menyatakan kesepakatan dalam beberapa isu utama termasuk meningkatkan pelaburan intra-ASEAN dan nilai perdagangan kepada AS$30 bilion menjelang 2027.

Paetongtarn dalam kenyataan menjelaskan, usaha sama perdagangan itu akan melibatkan pelbagai industri dengan tumpuan juga akan diberikan untuk memudahcara aktiviti sesama rakyat di kawasan sempadan.

“Dalam aspek ekonomi, kita akan beri tumpuan kepada perdagangan dan pelaburan dalam perhubungan sempadan, ekonomi digital dan pelancongan.

“Saya juga tekankan mengenai kerjasama dalam bidang industri getah dan halal  yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara,” ujarnya.

Anwar seterusnya memaklumkan, kesepakatan yang dicapai Malaysia-Thailand mengenai usaha mencapai keamanan di Selatan Thailand yang turut melibatkan pelaksanaan Pelan Komprehensif ke arah Keamanan (JCPP).

Mengenai Laut China Selatan, kedua-dua pemimpian bersetuju untuk menghormati Konvensyen Undang-undang Laut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNCLOS) dengan mengekalkan hubungan baik dengan semua negara.

Menyentuh situasi di Myanmar, Anwar berkata, pelbagai usaha sedang berjalan untuk mengembalikan Myanmar sebagai ahli aktif dalam gabungan ASEAN.

“Dalam pada kita komited untuk melaksanakan Konsensus Lima Perkara, kita juga ambil tindakan melalui dialog di pelbagai peringkat secara tidak rasmi bagi memastikan Myanmar kembali menyertai ASEAN,” ujarnya.

Perdana Menteri Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada Thailand yang memberi sokongan kepada penyertaan Timor-Leste sebagai anggota penuh ASEAN yang dijangka akan dimuktamadkan pada Mei tahun depan.

Dalam pada itu, Paetongtarn turut menyampaikan jemputan kepada Anwar untuk mengadakan lawatan rasmi ke Thailand dalam masa terdekat.