SUATU tengah hari, di Putrajaya, tanggal 2 Disember 2024 yang lalu.

“Kami akan melakukan apa sahaja yang perlu untuk membantu Timor-Leste, supaya proses itu dapat dipermudah dan dipercepatkan,” begitu kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tengah hari itu apabila menyentuh mengenai permohonan penyertaan Timor-Leste menyertai ASEAN. Ia diucapkan dalam satu sidang media bersama Perdana Menteri Timor-Leste, Xanana Gusmao – bersempena kunjungan rasmi Xanana ke Malaysia.

Dua bulan sebelumnya, kedua pemimpin juga telah bertemu di Vientiane ketika Sidang Kemuncak ASEAN yang menyaksikan Malaysia menerima penyerahan kepengerusian ASEAN daripada Laos.

Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan merupakan negara yang begitu konsisten dan jelas pendiriannya; yang sangat mendukung penyertaan negara pemerhati ASEAN itu untuk bersama sebagai anggota penuh. Tahun ini, selaku pengerusi, komitmen Malaysia untuk mendukung penyertaan Timor-Leste dilihat sebagai komitmen yang signifikan; langkah penting dalam memperkukuh ekonomi dan geo-politik di rantau ini.

Menoleh kembali ke belakang, Timor-Leste muncul sebagai negara termuda di rantau ini, apabila mendapatkan semula kemerdekaan pada tahun 2002 daripada Indonesia. Negara ini kini sedang giat berusaha bukan sahaja memperkukuh ekonomi dan politik, tetapi mencari identiti budaya yang mahu dijulang sebagai wajah negara mereka.

Timor-Leste yang pada asalnya mendapat kemerdekaan dari Portugal pada 1975, telah menjadi sebahagian Indonesia setahun berikutnya; sebagai usaha mencari kestabilan akibat konflik dalaman ketika itu. Namun, setelah kronologi pelbagai peristiwa penindasan berterusan yang berlaku ketika itu – tidak ada jalan lain yang lebih baik selain mendapatkan semula kemerdekaan tersebut.

Perspektif perjalanan mereka mendapatkan semula kemerdekaan juga unik dan menarik.

Melalui penglibatan saya dalam agenda UNESCO Memory of The World (MoW) di beberapa negara serantau sejak beberapa tahun terakhir, saya meneliti banyak dokumen pencalonan daftar warisan tersebut dari pelbagai negara.

Dalam dokumen rasmi pencalonan dari Timor-Leste, mereka menyatakan “Timor Leste adalah negara pertama dalam sejarah yang memperoleh kemerdekaan melalui imej audiovisual”. Ia merujuk kepada bagaimana kemerdekaan semula mereka itu dapat dicapai melalui sokongan global, setelah rakaman-rakaman video tentang kekejaman tentera yang berlaku di sana tersebar seluruh dunia.

Dokumen yang saya teliti itu adalah pencalonan bagi koleksi sejumlah rakaman video yang diberi nama ‘On the Birth of a Nation: Turning point’ - rakaman ratusan jam merangkumi tempoh 12 tahun; sejak tahun 1991.

Sebuah koleksi rakaman video yang merakam jejak penting perjalanan mereka menuju sebuah negara merdeka. Ini termasuklah tragedi Santa Cruz – peristiwa pembunuhan beramai-ramai oleh tentera Indonesia ketika itu.  Sehingga kini, ia kekal sebagai satu-satunya koleksi warisan daripada Timor-Leste yang diiktiraf daftar warisan MoW.

Melalui rakaman-rakaman itulah, pada suatu ketika, mereka mendapatkan keyakinan PBB bagi mengarahkan referendum serta akhirnya menerima intervensi tentera antarabangsa dalam menghalang keganasan terus berlaku. Terdahulu, rakaman-rakaman itu juga membawa pemimpin mereka untuk menerima anugerah Nobel Keamanan.

Begitulah hebatnya kuasa sebuah rakaman audiovisual; yang mana koleksi tersebut akhirnya diterima dan diiktiraf sebagai khazanah dunia di bawah daftar antarabangsa MoW pada tahun 2013.

Pencalonan UNESCO MoW tersebut dibuat oleh sebuah organisasi iaitu Centro Audiovisual Max Stahl Timor-Leste (CAMSTL), dengan sokongan Presiden Timor Leste, Dr. Jose Ramos-Horta, dan Jawatankuasa UNESCO Timor Leste.

CAMSTL merupakan sebuah organisasi arkib audiovisual yang diasaskan oleh Max Stahl, atau nama sebenarnya Christopher Wenner, wartawan dan pembikin filem kelahiran Unieted Kingdom – yang aktif merakam konflik di Timor-Leste dari kali pertama beliau ke sana pada tahun 1991. Keseluruhan rakaman dalam pencalonan ini – kecuali satu iaitu rakaman acara kemerdekaan pada tahun 2002 – adalah rakaman peribadi Max Stahl.

Daripada sebuah rakaman peribadi, ia merubah dunia; lalu diiktiraf sebagai warisan sejagat.

Poster Beatriz’s War, filem cereka pertama Timor-Leste

Pada tahun yang sama koleksi tersebut diiktiraf UNESCO MoW – iaitu pada tahun ke-11 setelah kemerdekaan dicapai - Timor Leste juga menerima filem cereka pertama negara itu. ‘A Guerra Da Beatriz’ atau judul antarabangsanya ‘Beatriz’s War’ merupakan filem cereka pertama Timor-Leste yang dihasilkan oleh produksi, pelakon serta pengarah tempatan – dengan bantuan seorang penerbit dan pengarah bersama dari Australia.

Mula ditayangkan pada tanggal 17 September 2013, filem itu ditonton lebih 30,000 penonton tempatan di pawagam terbuka. Berkisar latar ketika pendudukan Indonesia, ia turut mendapat perhatian di pelbagai festival filem di pelbagai negara.

Filem ini akan kekal tercatat dalam sejarah sebagai filem cereka pertama Timor-Leste, dan akan kekal menjadi bahan rujuk penting mengenai refleksi dekad-dekad awal sebuah negara bangsa.

Kembali ke masa kini.

Pertengahan tahun lalu, saya berkesempatan bertemu dengan Jose Antonio Beno, Presiden Radio Television of Timor- Leste (RTTL), stesen media rasmi negara tersebut dalam satu acara di Solo, Indonesia. Kami sempat berbual tentang potensi bekerjasama dalam bidang penerbitan di sana.

Jose menjelaskan mengenai antara keperluan utama di negara tersebut kini adalah dalam aspek pembangunan modal insan dalam kerja penerbitan, serta keperluan mendesak dalam menyelamatkan banyak rakaman audivisual milik negara di premis RTTL yang baharu sahaja dilanda banjir besar; yang membawa ancaman kerosakan kepada rakaman-rakaman penting tersebut.

Selain itu, kerjasama penerbitan dalam membina naratif Timor-Leste yang lebih universal dan global adalah antara yang berpotensi untuk diteroka.

Sebagai sebuah negara baharu, Timor-Leste berusaha membina identiti negaranya. Tidak dapat tidak, wajah itu perlu dijelmakan melalui media dan filem; yang bakal menjadi representasi dan imej negara ke-11 di Asia Tenggara ini.

Ketika Malaysia melihat bagaimana penyertaan Timor-Leste ke dalam ASEAN sebagai satu keputusan strategik geopolitik, saya melihatkan bagaimana medium filem dan sinema mampu memainkan peranan yang signifikan bukan sahaja dalam meyakinkan negara anggota yang lain, tetapi juga memperkukuh identiti ASEAN – hal yang begitu sering diperbahaskan sejak beberapa tahun kebelakangan.

Selain bantuan latihan kepada diplomat Timor-Leste yang sedang disediakan Malaysia kini, usaha diplomasi budaya melalui filem berpotensi digerakkan – dengan meneroka kolaborasi filem dan sinema yang masih begitu muda di sana – termasuklah membantu memelihara warisan audiovisual mereka yang begitu memerlukan perhatian kini.

Arkib Negara Malaysia beberapa tahun lalu pernah terlibat membantu menambahbaik sistem pengarkiban dan pengurusan rekod di sana – dan sangat wajar usaha murni ini dapat dilanjutkan.

Pada ketika kita menanti Timor-Leste diterima secara sepakat oleh anggota ASEAN, banyak jalan terbuka untuk kita sama memainkan peranan sebagai sahabat serantau.

Timor-Leste - sebuah negara bangsa yang kini berusaha untuk membina imej dan identiti tersendiri.

Lalu, refleksi negara bagaimana yang mahu dibina – segalanya terakam dalam sebuah bingkai.


*Penulis, Ts Azharul Azmir Kamarulzaman merupakan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF) dan Pengarah Urusan bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd.

**Penulis merupakan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF) dan Pengarah Urusan bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd. Untuk membaca lebih lanjut tentang inisiatif ini, boleh dilayari di www.diplomasifilem.com

***Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.