Sebelum ini, Presiden AS Donald Trump mengumumkan beberapa langkah tarif sebagai sebahagian daripada agenda ‘America First’ beliau.
Bulan lalu, Trump menandatangani perintah eksekutif untuk mengenakan tarif 25 peratus ke atas import keluli dan aluminium, yang berkuat kuasa pada 12 Mac.
Menteri Perindustrian Korea Selatan, Ahn Duk-geun semasa pertemuan dengan Setiausaha Perdagangan AS, Howard Lutnick menyuarakan kebimbangan syarikat negara Asia Timur itu terhadap sistem tarif baharu Trump.
Beliau turut menggesa AS untuk mengecualikan Korea Selatan daripada tarif baharu itu.
Kedua-dua pemimpin itu turut membincangkan pengukuhan perkongsian dalam bidang seperti pembinaan kapal dan industri maju.
Dalam satu kenyataan beliau berkata, Korea Selatan akan berusaha untuk mendapatkan hasil terbaik daripada rundingan sistematik dan bersungguh-sungguh dengan AS mengenai dasar baharu dalam bidang industri, perdagangan dan tenaga.
Ia adalah berdasarkan pengalaman Korea Selatan yang berjaya menangani Akta Chips dan Akta Pengurangan Inflasi AS sebelum ini.
AS ialah rakan dagangan penting Korea Selatan, yang mengeksport pelbagai produk seperti kereta, jentera dan elektronik.
Berdasarkan data kerajaan AS tahun lalu, Seoul mempunyai lebihan perdagangan sebanyak AS$66 bilion dengan Washington.
