Korea Selatan perkenal sistem 'e-Arrival Card' untuk pelancong asing
Sistem baharu itu dijangka mempercepatkan proses saringan serta mengurangkan kesesakan di lapangan terbang.
Bernama
Mon Feb 24 2025
Sistem baharu itu dijangka mempercepatkan proses saringan serta mengurangkan kesesakan di lapangan terbang. - Instagram @incheon_airport
SEOUL: Pelancong asing yang memasuki Korea Selatan kini boleh mengisi kad ketibaan secara dalam talian sehingga tiga hari lebih awal bermula Isnin, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan kementerian kehakiman negara itu.
Borang ketibaan elektronik baharu, dikenali sebagai "e-Arrival Card", dijangka mempercepatkan proses saringan serta mengurangkan kesesakan di lapangan terbang, sekali gus menarik lebih ramai pelancong ke negara itu, menurut kementerian berkenaan.
Sebelum ini, warga asing yang memasuki Korea Selatan untuk lawatan jangka pendek, termasuk tujuan pelancongan perlu mengisi kad ketibaan secara manual di lapangan terbang.
Bagi mengelakkan kekeliruan, kementerian merancang untuk mengekalkan sistem berasaskan kertas sehingga akhir tahun ini selari dengan pelaksanaan sistem elektronik baharu.