Menteri Kanan Singapura, Lee Hsien Loong berkata lebih banyak bantuan akan diumumkan dalam Belanjawan Singapura tahun ini terutama kepada mereka yang paling memerlukan.
"Kami terus menyokong anda dalam menangani kebimbangan kos sara hidup yang mendesak, terutamanya keluarga yang memerlukan bantuan paling banyak," katanya, sambil menyebut langkah-langkah seperti baucar CDC sebanyak S$300 (AS$221) yang diedarkan pada bulan Januari, di samping S$800 yang disalurkan tahun lepas.
Memetik laporan agensi berita MediaCorp, Hsien Loong berkata rakyat Singapura juga telah menerima baucar GST, rebat U-Save, dan baucar pengangkutan awam.
Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Teck Ghee berkata demikian pada majlis makan malam Tahun Baru Cina yang dihadiri 1,200 penduduk dan tetamu di Kelab Masyarakat Teck Ghee pada Sabtu malam.
Mengulas lanjut, Hsien Loong berkata perumahan kekal menjadi keutamaan utama sambil menyatakan bahawa Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) telah menguruskan projek tertunggak ekoran COVID-19 dan berada di landasan tepat untuk melancarkan lebih daripada 100,000 unit menjelang tahun ini, dalam tempoh lima tahun sejak 2021.
Rangka kerja Standard, Plus dan Prime baru akan membantu memastikan flat Bina Mengikut Tempahan (BTO) dimampui dan tersedia untuk semua, kata beliau.
“Selain isu masa kini, kami melabur banyak untuk masa depan Singapura,” katanya sambil mengetengahkan pelaburan dalam pendidikan, latihan dan peningkatan kemahiran supaya belia dan pekerja mempunyai kemahiran untuk kekal berdaya saing dan mendapatkan pekerjaan yang baik, walaupun ekonomi berubah disebabkan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan.
Sehubungan itu, kata beliau menerusi kepercayaan dan perkongsian yang kukuh antara pemerintah dan rakyat Singapura selama lebih 60 tahun, negara itu telah dapat mencapai kemajuan yang konsisten berdekad lamanya dan bukan dengan mengubah haluan setiap beberapa tahun.