Pejabat Netanyahu berkata, Kabinetnya tidak akan bersidang untuk meluluskan perjanjian tersebut sehingga Hamas menarik balik langkah yang didakwa melanggar sebahagian perjanjian dengan tujuan mendapatkan lebih banyak konsesi.
Pegawai kanan Hamas, Izzat Al-Rashq berkata, kumpulan itu "komited kepada perjanjian gencatan senjata yang diumumkan oleh para perantara."
Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dan perantara utama Qatar mengumumkan perjanjian itu pada Rabu yang bertujuan membebaskan puluhan tebusan yang ditahan di Gaza dan mengurangkan perang selama 15 bulan yang telah mengganggu kestabilan Asia Barat dan mencetuskan protes global.
Pejabat Netanyahu sebelum ini menuduh Hamas kembali kepada perjanjian awal yang memberikan Israel hak veto terhadap banduan yang akan dibebaskan dalam pertukaran dengan tebusan.
Netanyahu menghadapi tekanan domestik yang besar untuk membawa pulang tebusan-tebusan, tetapi rakan sekutu sayap kanan dalam gabungannya mengancam akan menjatuhkan kerajaannya jika terlalu banyak konsesi dibuat.
Serangan udara Israel bunuh puluhan orang
Serangan udara Israel di seluruh Semenanjung Gaza telah membunuh sekurang-kurangnya 48 orang dalam sehari yang lalu, menurut Kementerian Kesihatan wilayah itu.
Dalam konflik sebelumnya, kedua-dua pihak sering meningkatkan operasi ketenteraan pada jam terakhir sebelum gencatan senjata sebagai cara untuk menunjukkan kekuatan.
Sekitar separuh daripada yang terkorban adalah wanita dan kanak-kanak, kata Zaher Al-Wahedi, ketua jabatan pendaftaran kementerian kepada Associated Press.
Beliau berkata, jumlah itu boleh meningkat apabila hospital mengemas kini rekod mereka.
Perang bermula apabila pejuang yang diketuai Hamas menyerang Israel dalam serangan mengejut pada 7 Oktober 2023, membunuh kira-kira 1,200 orang, kebanyakan mereka orang awam, dan menculik sekitar 250.
Sekitar 100 tebusan masih berada di Gaza, dan tentera Israel percaya kira-kira sepertiga hingga separuh daripada mereka telah terkorban.
Di bawah perjanjian yang dicapai pada Rabu, 33 tebusan dijangka dibebaskan dalam tempoh enam minggu akan datang sebagai pertukaran dengan ratusan tahanan Palestin.
Tentera Israel akan berundur dari banyak kawasan, ratusan ribu rakyat Palestin bakal kembali ke sisa rumah mereka selain bantuan kemanusiaan akan ditingkatkan.
Selebihnya tebusan, termasuk tentera lelaki, akan dibebaskan dalam fasa kedua yang lebih mencabar, yang akan dirundingkan sepanjang fasa pertama.
Hamas menyatakan, ia tidak akan membebaskan baki tebusan tanpa gencatan senjata yang berpanjangan dan pengunduran penuh Israel, sementara Israel bertekad untuk terus berperang sehingga kumpulan itu dibubarkan.
Perantara dari Mesir, Qatar, dan AS mengadakan pertemuan di Kaherah pada Khamis untuk membincangkan pelaksanaan perjanjian tersebut.
Banyak soalan jangka panjang tentang Gaza pascaperang masih belum terjawab, termasuk siapa yang akan memerintah wilayah itu dan memantau usaha pembinaan semula selepas konflik yang memusnahkan ini.
Israel mendapat kritikan antarabangsa yang hebat, termasuk daripada sekutu terdekatnya, AS, berkenaan dengan kematian orang awam di Gaza, tetapi menuding jari kepada Hamas atas kematian itu.
Hamas, pasukan pejuang yang tidak mengiktiraf kewujudan Israel berada di bawah tekanan besar akibat
operasi ketenteraan Israel tetapi bertekad untuk terus berjuang, meningkatkan potensi pemberontakan berpanjangan jika perang diteruskan. - Agensi