BOGOTA: Dua pesawat Tentera Udara Colombia dengan membawa migran yang dihantar pulang dari Amerika Syarikat (AS) mendarat di ibu negara Colombia, Bogota pada Selasa, lapor Xinhua yang memetik Presiden Colombia Gustavo Petro.

Warga Colombia itu diterbangkan dari Houston, Texas dan San Diego, California atas arahan Petro.

"Mereka adalah rakyat Colombia, mereka bebas dan bermaruah serta berada di tanah air mereka di mana mereka disayangi. Migran bukan penjenayah, mereka adalah manusia yang ingin bekerja dan maju," kata Petro dalam hantaran di platform sosial X.

Petro pada Ahad menolak kemasukan pesawat tentera AS yang membawa migran yang dihantar pulang dengan alasan mereka dilayan seperti penjenayah.

Langkah itu mencetuskan tindak balas keras daripada Presiden AS Donald Trump, yang mengancam untuk membatalkan visa semua pegawai kerajaan Colombia dan mengenakan tarif 50 peratus ke atas import dari negara itu.

-- BERNAMA