CHIAPAS: Lebih 1,000 migran, termasuk beberapa warga Venezuela, memulakan perjalanan dari bandar Tapachula di selatan Mexico menuju ke Amerika Syarikat (AS) pada Ahad meskipun Presiden Donald Trump menghentikan operasi sebuah aplikasi mudah alih yang membolehkan migran membuat janji temu di sempadan AS-Mexico.

Salah seorang migran, Carlos Cabriles memaklumkan dia dan keluarga kerugian tiket kapal terbang serta permit yang membenarkan transit percuma selepas janji temu mereka dibatalkan.

Ini sekali gus meninggalkan mereka tanpa pilihan selain memulakan perjalanan dengan berjalan kaki.

"Saya telah mendapat pengesahan untuk (temu janji CBP One), sehari selepas Trump dilantik, mereka membatalkannya. Kami kehilangan tiket penerbangan kami, kami kehilangan segalanya kerana mereka tidak membayar balik," katanya.

Minggu lalu, pentadbiran baharu AS di bawah Trump menghentikan operasi sebuah aplikasi mudah alih yang membolehkan migran membuat janji temu di sempadan AS-Mexico.

"Berkuat kuasa 20 Januari 2025, fungsi CBP One yang sebelum ini membolehkan pendatang tanpa dokumen menyerahkan maklumat awal dan menjadualkan janji temu di lapan pintu masuk di sempadan barat daya AS tidak lagi tersedia, dan semua janji temu sedia ada dibatalkan," menurut notis di laman sesawang Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP).

Penutupan ini, yang dilakukan pada hari pelantikan Trump sebagai Presiden AS ke-47, adalah sebahagian daripada langkah untuk memperketat kawalan ke atas migrasi di sempadan.