Laporan itu mengaitkan kematian tersebut dengan tujuh tapak kubur yang disyaki.
Dalam laporan tersebut, Syria Justice and Accountability Center (SJAC) mengenal pasti tapak-tapak kubur tersebut dengan menggunakan gabungan keterangan saksi, imej satelit dan dokumen yang dirakamkan di lapangan terbang tentera di pinggir Damsyik, iaitu di kawasan Mezzeh, selepas penyingkiran Presiden Bashar al-Assad pada Disember 2024.
Beberapa tapak kubur berada di dalam kawasan lapangan terbang, manakala yang lain berada di seluruh Damsyik.
Dua daripada tapak tersebut, satu di dalam kawasan lapangan terbang Mezzeh dan satu lagi di tanah perkuburan di Najha menunjukkan tanda-tanda jelas tentang parit panjang yang digali pada tempoh yang konsisten dengan keterangan saksi dari SJAC.
Shadi Haroun, salah seorang penulis laporan berkata, beliau pernah menjadi tahanan di situ.
Ditahan selama beberapa bulan pada 2011-2012 kerana menganjurkan protes, beliau menggambarkan soal siasat harian yang disertai dengan penyeksaan fizikal dan psikologi untuk memaksanya membuat pengakuan palsu.
Menurut Haroun, kematian turut berlaku dalam pelbagai bentuk.
Walaupun tahanan tidak dapat melihat apa-apa kecuali dinding sel atau bilik soal siasat, mereka boleh mendengar “bunyi tembakan sekali-sekala, ditembak satu persatu, setiap beberapa hari.”
Selain itu, terdapat juga kecederaan akibat seksaan yang tidak dirawat.
“Luka kecil di kaki salah seorang tahanan yang disebabkan oleh sebatan semasa diseksa, tidak dirawat selama beberapa hari sehingga ia menjadi gangren dan keadaannya bertambah buruk sehingga terpaksa dipotong seluruh kakinya,” kata Haroun, menceritakan nasib rakan selnya.
Selain memperoleh dokumen tersebut, SJAC dan Association for the Detained and Missing Persons in Sednaya Prison turut menemu bual 156 mangsa yang terselamat dan lapan bekas anggota perisikan tentera udara, iaitu perkhidmatan keselamatan Syria yang ditugaskan untuk pemantauan, pemenjaraan dan pembunuhan pengkritik rejim.
Kerajaan baharu Syria telah mengeluarkan dekri yang melarang bekas pegawai rejim daripada bercakap secara terbuka dan tiada seorang pun yang dapat memberikan komen.
“Walaupun beberapa kubur yang disebut dalam laporan itu belum pernah ditemui sebelum ini, penemuan itu sendiri tidak mengejutkan kami, kerana kami tahu bahawa terdapat lebih daripada 100,000 orang hilang di penjara Assad yang tidak dibebaskan semasa hari-hari pembebasan pada awal Disember,” kata seorang kolonel di Kementerian Dalam Negeri kerajaan baharu yang memperkenalkan dirinya dengan nama samaran tentera, Abu Baker.
“Mengetahui nasib orang yang hilang dan mencari lebih banyak kubur adalah salah satu warisan paling menyedihkan yang ditinggalkan oleh rejim Assad,” tambahnya.
Dianggarkan ratusan ribu rakyat Syria telah terbunuh sejak 2011 apabila tindakan keras Assad terhadap protes bertukar menjadi perang berskala penuh.
Baik Bashar Assad mahupun bapanya Hafez, yang menjadi Presiden sebelum beliau dan meninggal dunia pada 2000, telah lama dituduh oleh kumpulan hak asasi manusia, kerajaan asing, dan pendakwa jenayah perang kerana melakukan pembunuhan luar undang-undang secara meluas, termasuk hukuman mati beramai-ramai dalam sistem penjara negara dan penggunaan senjata kimia terhadap rakyat Syria. - Agensi
