HAMILTON (Kanada): Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu melaporkan, hampir 430,000 orang sedang bergerak dari selatan Semenanjung Gaza ke utara enklaf itu, menurut Agensi Anadolu.

"Rakan kemanusiaan kami menganggarkan lebih 423,000 orang telah menyeberang dari selatan ke utara sejak pembukaan jalan Salah ad-Din dan Al Rashid pada Isnin," kata jurucakap PBB, Stephane Dujarric dalam sidang media.

Beliau berkata, pekerja bantuan di lapangan menyediakan makanan, air dan kit kebersihan kepada mereka yang dalam perjalanan, sambil menambah Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) sedang mengedarkan gelang pengenalan kepada kanak-kanak bagi membantu keluarga kekal selamat dan berhubung sepanjang perjalanan.

"Mereka yang dalam perjalanan termasuk kanak-kanak tanpa penjaga, wanita hamil, warga emas, individu yang menghidap penyakit kronik, orang kurang upaya dan mereka yang memerlukan rawatan perubatan berterusan," tambahnya.

Dujarric turut menekankan "kemerosotan drastik dalam situasi kemanusiaan dan perlindungan" di Tebing Barat yang diduduki.

"Tentera Israel meneruskan operasi mereka di wilayah Jenin dan Tulkarm di utara Tebing Barat. Kami telah berulang kali menyuarakan kebimbangan mengenai penggunaan taktik bersenjata secara meluas semasa operasi ini," katanya.

Memetik Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA), Dujarric melaporkan, "infrastruktur awam dimusnahkan dan perkhidmatan penting terganggu" di Tebing Barat yang diduduki.

Beliau berkata, hampir 1,000 rakyat Palestin telah kehilangan tempat tinggal akibat gangguan terhadap perkhidmatan penting.

Mengulas mengenai larangan Israel terhadap Agensi Kerja dan Bantuan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) yang dijadual berkuat kuasa pada Khamis, Dujarric berkata, PBB telah "mengambil beberapa langkah" dan menegaskan bahawa agensi itu "akan terus melaksanakan mandatnya selagi ia masih boleh beroperasi secara fizikal."

Mengenai kemungkinan ancaman oleh penguat kuasa undang-undang Israel terhadap agensi itu dan kakitangannya, Dujarric berkata: "Kakitangan, tanpa mengira kewarganegaraan mereka perlu dilindungi mengikut undang-undang antarabangsa dan mengikut kewajipan Israel di bawah undang-undang antarabangsa."

Beliau juga menyatakan, PBB tidak menerima sebarang jaminan oleh Israel berhubung perlindungan ke atas kakitangannya.

Parlimen Israel (Knesset) pada Oktober lepas mengundi untuk mengharamkan operasi UNRWA di kawasan yang diduduki Israel, dengan mendakwa kakitangan agensi itu terlibat dalam serangan Hamas pada 7 Okt 2023 - dakwaan yang dinafikan oleh UNRWA.

Larangan itu, yang dibuat ketika serangan masih berterusan di Gaza, menimbulkan kebimbangan mengenai gangguan terhadap bantuan penting kepada jutaan pelarian Palestin.

Pegawai PBB berulang kali memberi amaran bahawa langkah sedemikian boleh memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang semakin meruncing.

UNRWA, yang beroperasi sejak 1949, menyediakan perkhidmatan penting seperti pendidikan dan penjagaan kesihatan kepada pelarian Palestin di Tebing Barat, Gaza, Lubnan, Jordan dan Syria. - BERNAMA