Dalam satu kenyataan, PBB menyatakan bahawa antara punca situasi membimbangkan itu adalah keadaan iklim yang ekstrem, yang "membataskan keupayaan orang ramai untuk memberi makan kepada keluarga mereka".
Menurut laporan terbaru Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), hampir separuh daripada penduduk Afghanistan - kira-kira 22.9 juta orang - akan memerlukan bantuan kemanusiaan tahun ini untuk menangani keperluan kronik dan akut.
Ekonomi Afghanistan yang rapuh, bencana alam yang berterusan, kejutan akibat perubahan iklim, serta ketidakstabilan politik serantau terus menghalang pemulihan daripada konflik selama beberapa dekad, menurut laporan itu.
Sejak Taliban kembali berkuasa pada Ogos 2021, Afghanistan tidak mempunyai akses kepada rizab asingnya di bank Barat, yang memburukkan lagi krisis ekonomi negara itu.
Pengangguran dan kemiskinan menjejaskan sekitar 48 peratus penduduk, menurut PBB.
Negara itu kekal sangat terdedah kepada bencana berkaitan iklim.
Banjir yang lebih teruk dijangka berlaku pada 2025, yang seperti tahun-tahun sebelumnya, dijangka memusnahkan rumah, tanah pertanian dan memindahkan komuniti, seterusnya memburukkan lagi situasi kemanusiaan yang sudah pun teruk.
-- BERNAMA