LONDON: Seorang lelaki yang memanjat Menara Elizabeth yang menempatkan jam gergasi ikonik Big Ben di Istana Westminster, London telah ditahan pihak berkuasa Britain pada awal pagi Sabtu.

Lelaki yang dilaporkan mengibarkan bendera Palestin dan melaungkan slogan bebas Palestin di menara itu turun selepas 16 jam dipujuk pihak berkuasa.

Jurucakap Polis Metropolitan memaklumkan, pihaknya bekerjasama dengan agensi lain termasuk bomba London serta mengerahkan pegawai pakar untuk meleraikan situasi secepat mungkin serta meminimumkan risiko nyawa.

Dalam pada itu, pasukan kecemasan bertindak naik ke menara menggunakan kren untuk berunding dengan lelaki itu dan dia turun selepas memberitahu syaratnya sendiri.

Sementara itu, perkhidmatan kecemasan menutup Jambatan Westminster pada pagi Sabtu sebagai tindak balas kepada insiden itu.

Kejadian juga menyebabkan lawatan Parlimen dibatalkan namun semua jalan telah dibuka semula selepas lelaki itu ditahan.