PARIS: Tiga peranti letupan dilemparkan ke dinding Konsulat Rusia di bandar Marseille, Perancis dengan dua daripadanya meletup, kata polis pada Isnin, lapor agensi berita Jerman, dpa.

Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu, yang berlaku pada ulang tahun ketiga pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

Suspek melarikan diri selepas serangan itu dan polis tidak dapat memberikan butiran lanjut mengenai peranti letupan yang digunakan. Motif serangan juga tidak dinyatakan.

Sementara itu, Kementerian Luar Rusia di Moscow menyeru pihak berkuasa Perancis menjalankan siasatan menyeluruh terhadap letupan berkenaan.

Jurucakap kementerian itu, Maria Zakharova, berkata terdapat petunjuk bahawa insiden itu merupakan serangan pengganas.

Beliau turut menegaskan bahawa Perancis mesti mengambil langkah untuk meningkatkan keselamatan misi diplomatik Rusia di luar negara.

-- BERNAMA