LOS ANGELES: Daerah Los Angeles pada Rabu memfailkan saman terhadap syarikat kuasa tempatan bagi menuntut ganti rugi susulan kebakaran dahsyat yang berlaku pada Januari, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).


Ringkasan AI
  • Daerah Los Angeles memfailkan saman terhadap Southern California Edison dan Edison International, mendakwa peralatan mereka menyebabkan kebakaran Eaton yang memusnahkan lebih 56 kilometer persegi kawasan dan mengakibatkan 17 kematian.
  • Kebakaran Eaton memusnahkan sekitar 9,400 bangunan dan menyebabkan kerugian dianggarkan menelan kos sekurang-kurangnya ratusan juta dolar.
  • Kebakaran Palisades dan Eaton bersama-sama memusnahkan lebih 16,200 bangunan dan mengakibatkan 29 kematian, dengan pasukan bomba mengambil beberapa minggu untuk memadam kebakaran.


Tuntutan itu mendakwa peralatan Southern California Edison dan Edison International (SCE) "menyebabkan kebakaran dahsyat, yang memaksa pihak berkuasa daerah menanggung kos besar untuk menangani kebakaran dan kesannya," menurut kenyataan rasmi LA.

Kebakaran Eaton yang tercetus pada Januari lalu memusnahkan lebih 56 kilometer persegi kawasan berhampiran Pasadena dan Altadena.

Kebakaran itu turut mengakibatkan 17 kematian dan memusnahkan sekitar 9,400 bangunan.

Dalam tuntutan itu, plaintif merujuk kepada saksi, foto dan rakaman video kamera pengawasan yang didakwa menunjukkan bahawa kebakaran bermula di bawah talian elektrik SCE di Eaton Canyon.

Selepas kebakaran berlaku, SCE memberitahu Suruhanjaya Utiliti Awam California (CPUC) bahawa kerosakan berlaku pada talian mereka sekitar waktu kebakaran bermula pada 7 Januari.

Pihak berkuasa tempatan berkata, jumlah kerugian akibat kebakaran dianggarkan menelan kos "sekurang-kurangnya ratusan juta dolar."

Kebakaran Palisades di pinggir barat Los Angeles dan kebakaran Eaton berhampiran Pasadena dan Altadena bersama-sama telah memusnahkan lebih 16,200 bangunan, menurut anggaran rasmi. Bilangan kematian yang disahkan ialah 29.

Pasukan bomba berada di lokasi selama beberapa minggu sebelum berjaya memadam kebakaran.

-- BERNAMA